Khamis, 20 Jun 2019 | 2:57pm
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi (enam kanan) dan Ketua Pegawai Agama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Murtadha Abdullah (lima kanan) beramah mesra dengan wakil media Kelantan dalam Jalinan Ukhuwah Aidilfitri Bersama MAIK di Kompleks Islam Darul Naim. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

MAIK agih wang zakat RM32.4 juta bagi 3 bulan pertama

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengagihkan sebanyak RM32.4 juta wang zakat kepada asnaf di negeri ini melalui pelbagai program bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi, berkata antara program yang dilaksanakan ialah bantuan bulanan fakir miskin, kemahiran hidup, persekolahan, pemulihan rumah kediaman serta rawatan perubatan.

Beliau berkata, bagi tahun ini, MAIK juga mengambil inisiatif membantu memberi sumbangan wang saku kepada 700 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang miskin dengan perbelanjaan sebanyak RM140,000.

“Berdasarkan kemampuan MAIK, peruntukan dibelanjakan bagi tujuan pendidikan adalah membabitkan 20.3 peratus daripada jumlah kutipan zakat kerana menyedari bahawa melalui pendidikan, kemiskinan dapat diurus dan dikurangkan.

“Malah, bagi tempoh Ramadan tahun ini, sebanyak RM24.48 juta wang zakat sudah diagihkan kepasa asnaf yang layak melalui program sedia ada termasuk agihan tunai secara terus seperti bantuan hari raya.

“Selain itu, sebanyak 1,381 rumah kediaman sehingga kini sudah dibina MAIK untuk golongan asnaf dengan membabitkan kos sebanyak RM49.86 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Jalinan Ukhuwah Aidilfitri bersama MAIK di Kompleks Islam Darul Naim, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Mohd Azlan, berkata berdasarkan prestasi agihan keseluruhan wang zakat untuk tempoh empat tahun, MAIK sudah membelanjakannya melebihi kutipan dari tahun 2015 hingga 2017.

Beliau berkata, sebagai contoh pada tahun 2017, agihan wang zakat adalah sebanyak RM185 juta berbanding kutipan RM181.9 juta.

“Selebihnya kita mengambil simpanan melalui Baitulmal bagi membolehkan semua penerima yang layak dapat wang zakat yang diperuntukkan.

“Diharap, penjelasan ini akan memberi gambaran sebenar kepada masyarakat mengenai peranan MAIK dalam membantu golongan memerlukan selain mengajak semua pihak agar dapat berganding bahu dan bekerjasama memastikan mereka terbela,” katanya.

Berita Harian X