Selasa, 18 Jun 2019 | 4:08pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin.

Tiada kerjasama penduduk punca kekurangan tong sampah

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengakui pihak berkuasa tempatan (PBT) berdepan masalah untuk menempatkan tong sampah di hadapan mana-mana premis apabila tidak mendapat kerjasama penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin, berkata, kebanyakan penduduk tidak membenarkan pihak berkuasa meletakkan tong sampah berhampiran kawasan mereka kerana didakwa mengganggu pemandangan.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan sampah sarap ditempatkan merata-rata di sepanjang bahu jalan dan sudut bangunan berikutan ketiadaan tong sampah.

“Kerajaan negeri perlu mengakui bahawa kita menghadapi kesukaran untuk meletakkan tong sampah, terutama di kawasan kampung kerana ramai penduduk tidak berpuas hati atau tidak menyukai dengan tindakan berkenaan.

“Berikutan itu, kita terpaksa meletakkan tong sampah dari tepi jalan. Kita turut membuat perancangan membeli tiga lori kecil bagi membolehkan sampah ini dapat dibawa keluar dari kawasan kampung dan taman perumahan lain,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Ramli Mamat (PAS-Bunut Payong) mengenai tindakan pihak berkuasa terhadap sampah yang dibuang penduduk di sepanjang jalan menyebabkan ia mencacatkan pemandangan.

Dr Izani berkata, kerajaan negeri menghargai cadangan untuk membeli lori kecil bagi membolehkan ia memasuki kawasan kampung dan pihaknya akan mencari cara untuk mendapatkan wang bagi membeli kenderaan berkenaan.

“Kami akan berusaha sebaik mungkin di setiap aspek bagi menyelesaikan masalah lambakan sampah yang dibuang penduduk di sepanjang bahu jalan raya dan kampung,” katanya.

Berita Harian X