Isnin, 17 Jun 2019 | 1:28pm
GAMBAR fail, Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling Sie Kiong ketika mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Ogos tahun lalu. - Foto Sairien Nafis

Hapuskan kenderaan haram yang jejas bas sekolah

MIRI: Tindakan tegas perlu diambil untuk menangani operasi kenderaan haram, khususnya kenderaan yang membawa pelajar sekolah tanpa permit sah.

Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling Sie Kiong, berkata tindakan itu perlu untuk memastikan tahap keselamatan pelajar sekolah terjamin.

Beliau berkata, adalah tidak adil bagi pengusaha bas sekolah di Sarawak yang menjalankan operasi secara sah terpaksa bersaing dengan pengusaha kenderaan haram yang semakin berleluasa di negeri ini.

“Tidak adil bagi pengusaha bas sekolah yang sah mematuhi undang-undang dan membayar cukai terpaksa bersaing dengan kenderaan haram. Paling penting keselamatan anak-anak menjadi keutamaan kita,” katanya di Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-26, Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Miri, di sini, malam tadi.

Sie Kiong berkata, kerajaan bercadang membantu pengusaha bas sekolah di Sarawak melengkapkan diri menghadapi persaingan industri pengangkutan semasa yang semakin mencabar.

Beliau berkata, walaupun perkhidmatan itu tidak seperti industri pengangkutan lain yang menjanjikan keuntungan tinggi, tetapi memberi banyak manfaat kepada ibu bapa bekerja.

Katanya, suasana ekonomi berubah dengan cepat dan sekarang perkhidmatan bas sekolah berdepan dengan pelbagai masalah serta memerlukan sokongan kerajaan.

“Antara pendekatan yang boleh diambil kerajaan ialah memastikan pengusaha bas sekolah mendapat bahan api dengan kos lebih murah,” katanya.

Berita Harian X