Isnin, 17 Jun 2019 | 1:15pm
PENGERUSI Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Kelantan mahu stesen ECRL Tok Bali untuk penumpang, kargo

KOTA BHARU: Kerajaan negeri memohon Kerajaan Persekutuan membina stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Tok Bali, Pasir Puteh untuk penumpang dan kargo dalam usaha merancakkan lagi pembangunan industri hiliran di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan Dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hanifa Ahmad, berkata ini berikutan Kerajaan Pusat sebelum ini memutuskan supaya stesen di Tok Bali itu hanya dijadikan stesen penumpang saja.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan impak daripada ECRL terhadap industri hiliran di kawasan terbabit kurang berkesan memandangkan Tok Bali juga akan dibangunkan sebagai Pangkalan Bekalan Tok Bali.

“Jika laluan ECRL hampir dengan Pangkalan Bekalan Tok Bali, kita dapat mengaut keuntungan daripada pembangunan ekonomi di Tok Bali itu sendiri.

“Mengikut perancangan Kerajaan Persekutuan terdahulu, lima stesen akan dibina di Kelantan membabitkan stesen penumpang saja di Pengkalan Kubor, Tumpat; Kota Bharu dan Jelawat, Bachok, manakala stesen penumpang dan kargo pula dibina di Wakaf Bharu serta Tok Bali.

“Dengan stesen penumpang dan kargo dibina di Wakaf Bharu dan Tok Bali, kita jangka pembangunan industri akan dirancakkan lagi di Kelantan, tetapi sekarang, tiga daripadanya iaitu Pengkalan Kubor, Jelawat dan Wakaf Bharu dibatalkan, manakala di Tok Bali hanya dijadikan stesen penumpang saja,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini, hari ini.

Katanya, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sudah membuat pengambilan tanah seluas 80.9 hektar dengan kos RM2 juta bagi membangunkan industri di Tok Bali.

“Kawasan industri dirancang Kerajaan Pusat melalui ECER dapat menjadikan Tok Bali kawasan industri utama terulung di Kelantan, tambahan pula jika stesen di Tok Bali turut disediakan untuk sistem kargo,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) mengenai peluang pekerjaan, Hanifa berkata, seramai 1,300 kontraktor Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) didaftarkan bagi projek ECRL dan kira-kira 30 peratus daripadanya akan melakukan kerja di negeri ini.

“Kita jangka kira-kira 600 peluang pekerjaan boleh diwujudkan bagi pelbagai sektor di Kelantan dari Kota Bharu hingga Tok Bali,” katanya.

Berita Harian X