Sabtu, 15 Jun 2019 | 5:22pm
MANGSA banjir dari tiga buah kampung iaitu Kampung Sri Sentosa, Kampung Merbau Indah dan Kampung Sri Aman dibantu anggota bomba susulan banjir kilat yang melanda kawasan terbabit. - Foto ihsan JBPM Selangor

Lima keluarga terperangkap banjir kilat diselamatkan

KUALA SELANGOR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menyelamatkan lima keluarga yang terperangkap akibat banjir kilat di Kampung Seri Sentosa, Jalan Tuan Mee di sini pagi tadi.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis, berkata banjir kilat itu berlaku selepas hujan lebat di kawasan terbabit sejak jam 2 pagi.

“Paras air yang meningkat dengan cepat sehingga 1.5 meter menyebabkan ada mangsa yang terperangkap. Mangsa dipindahkan menggunakan bot dan dibawa ke pusat pemindahan Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfield.

“Dua lagi kawasan yang turut dilanda banjir kilat ialah Kampung Merbau Indah Tambahan dan Kampung Sri Aman. Pihak bomba menempatkan dua pegawai di pusat pemindahan ini,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Norazam berkata, sehingga jam 3 petang ini, seramai 28 keluarga membabitkan 102 mangsa termasuk warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dari tiga kampung terbabit ditempatkan di Dewan MDKS Desa Coalfield.

“Jumlah mangsa dari Kampung Seri Sentosa adalah 12 keluarga (34 mangsa), Kampung Merbau Indah Tambahan seramai lapan keluarga (46 mangsa) dan Kampung Sri Aman seramai lapan keluarga (22 mangsa).

“Mangsa terdiri daripada 49 dewasa, 32 kanak-kanak, sembilan bayi, seorang OKU serta 11 warga emas,” katanya.

Katanya, seramai 21 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya dan Sungai Buloh digerakkan untuk membantu mangsa.

Berita Harian X