Sabtu, 15 Jun 2019 | 4:51pm
DR Annuar Rapaee merasmikan Program Ramah Tamah Aidilfitri Kelab Melayu Kampung Nyanor (MUC) Sibu. - Foto Harun Yahya

Kesedaran Rabies masih rendah

SIBU: Kementerian Kesihatan Awam Sarawak menyifatkan pengendalian kes kematian terbaru jangkitan Rabies di Sarawak Rabu lalu tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kementerian itu.

Menteri Mudanya, Dr Annuar Rapaee, yang terkilan dengan kes itu kerana meragut nyawa seorang wanita berusia 61 tahun di Hospital Umum Sarawak (HUS), berkata setiap kes gigitan anjing sama ada anjing liar atau peliharaan wajib dilaporkan.

Beliau berkata pihak hospital atau klinik kerajaan serta swasta perlu mengetahui kes itu bagi membolehkan rawatan dan pencegahan dibuat segera supaya kes tidak menular ke kawasan lain.

“Mengikut SOP yang sudah ditetapkan, semua kes gigitan anjing tanpa mengira liar atau peliharaan, perlu dilaporkan kepada hospital atau klinik berhampiran.

“Semua pesakit harus dirujuk ke hospital, selepas itu pihak hospital akan melaporkan kepada Jabatan Veterinar supaya mereka dapat mengesan lokasi anjing yang menggigit mangsa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) di sini, malam tadi.

Dr Annuar berkata, lokasi anjing perlu diketahui untuk memudahkan pihak berkuasa mengisytiharkan titik panas wabak Rabies, sekali gus dapat membantu pencegahan awal.

Katanya, kegagalan mematuhi SOP dalam kes terbaru itu membuktikan kesedaran masyarakat di Sarawak mengenai bahaya wabak Rabies masih rendah.

“Buat masa ini, bagi peringkat pertama, saya minta masyarakat mengelak digigit anjing. Kedua, pemilik anjing perlu tahu mereka tidak boleh melepaskan anjing dari kurungan.

“Kita bimbang anjing peliharaan berjangkit dengan anjing liar, sekali gus menjejaskan keberkesanan usaha mengawal wabak Rabies,” katanya.

Khamis lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataannya melaporkan seorang wanita berusia 61 tahun meninggal dunia ketika dirawat di HUS pada jam 10.47 malam 12 Jun.

Mangsa dilaporkan digigit anjing liar di bahagian ibu jari pada 29 April lalu semasa cuba menghalau anjing itu.

Berita Harian X