Jumaat, 14 Jun 2019 | 5:03pm
OPERASI Menangkap Ternakan Berkeliaran yang dijalankan MDM baru-baru ini. - Foto ihsan pembaca

PPNT setuju ternakan yang berkeliaran ditangkap

KUALA TERENGGANU: Persatuan Penternak Negeri Terengganu (PPNT) akur dengan tindakan Majlis Daerah Marang (MDM) menangkap ternakan yang dibiarkan berkeliaran.

Pengerusinya, Abdul Hamid Mohd Salleh, berkata perbuatan segelintir penternak itu membahayakan keselamatan pengguna jalan raya kerana ternakan sering melintas jalan, malah sudah banyak kemalangan termasuk kes maut membabitkan pengguna jalan raya merempuh haiwan ternakan.

“Jika lembu dan kambing hilang kerana ditangkap penguatkuasa, penternak jangan naik angin kerana mereka sepatutnya bertanggungjawab dan tidak membiarkan ternakan berkeliaran sehingga menimbulkan pelbagai masalah.

“Tidak dinafikan kos makanan ternakan kian meningkat tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk melepaskan haiwan ternakan berkeliaran di merata tempat untuk mencari makanan sendiri.

“Saya sokong sekiranya PBT (pihak berkuasa tempatan) bertindak tegas menangani masalah ini dengan menangkap haiwan ternakan yang berkeliaran terutama di tepi jalan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Operasi Menangkap Ternakan Berkeliaran yang dijalankan MDM baru-baru ini.

NSTP sebelum ini melaporkan, MDM menangkap 14 ternakan termasuk lembu dan kambing pada Operasi Menangkap Ternakan Berkeliaran sejak awal bulan ini.

Operasi itu bertujuan menangani masalah haiwan ternakan berkeliaran di Marang, sekali gus membantu menyelesaikan pelbagai masalah penduduk termasuk mencegah kemalangan membabitkan ternakan.

Abdul Hamid berkata beliau kerap mengingatkan penternak terutama ahli PPNT supaya menternak lembu atau kambing dengan kaedah yang disarankan iaitu menempatkan ternakan dalam kandang .

Menurutnya, beliau sendiri menerima banyak aduan mengenai perbuatan segelintir penternak yang sengaja melepaskan ternakan berkeliaran sehingga menimbulkan masalah termasuk najis haiwan di halaman rumah penduduk.

“Jika penternak rasa tidak mampu untuk menternak menggunakan kaedah yang betul, lebih baik hentikan saja kegiatan menternak kerana ia memberi masalah kepada orang lain.

“Sepatutnya, penternak sediakan kandang bersesuaian untuk ternakan dan kaedah menternak lembu atau kambing secara tradisional dengan lepas bebas sudah tidak sesuai diamalkan pada zaman sekarang.

“Ini kerana banyak kawasan hutan dan lapang yang dulunya menjadi padang ragut haiwan ternakan, kini sudah dibangunkan,” katanya.

Berita Harian X