Jumaat, 14 Jun 2019 | 4:37pm
CHONG Chieng Jen

Permit import gula kepada pengeluar F&B tidak akan dikaji

KUCHING: Kerajaan tidak akan mengkaji semula keputusan untuk memberikan permit import gula kepada pengeluar makanan dan minuman (F&B) di Sarawak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, keputusan itu dibuat kerana pihaknya percaya persaingan dalam industri gula adalah langkah tepat untuk melindungi peniaga dan pengguna.

Sehubungan itu katanya, dua syarikat penapis gula tempatan iaitu MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) dan Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) digesa supaya menawarkan gula pada harga yang lebih murah

“Langkah itu (menawarkan harga lebih rendah) wajar diambil bagi membantu mengurangkan beban yang ditanggung peniaga lain khususnya pengeluar makanan dan minuman.

“Ia selaras dengan dasar umum Pakatan Harapan (PH) untuk menggalakkan lebih banyak persaingan, mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan meningkatkan kecekapan dalam semua sektor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan dua syarikat penapis gula itu semalam yang menggesa kerajaan mengkaji semula pemberian permit import gula kepada pengeluar makanan dan minuman di Sarawak.

Chieng Jen berkata, dua syarikat terbabit sudah lama menikmati kawalan monopolistik terhadap jualan dan bekalan gula di pasaran domestik di negara ini.

Justeru katanya, sudah tiba masanya untuk mereka bersaing bagi meningkatkan perkhidmatan selain menawarkan harga yang lebih murah.

“Dengan harga gula mentah antarabangsa kini pada harga AS$0.40 sekilogram, harga penapis tempatan yang munasabah mestilah tidak boleh melebihi RM2.20 sekilogram.

“Bagaimanapun, penapis gula tempatan menjual gula melebihi harga itu sejak lima tahun lalu walaupun dalam tempoh itu harga purata gula mentah adalah di bawah AS$0.40 sekilogram,” katanya.

Berita Harian X