Jumaat, 14 Jun 2019 | 10:38am
Anggota JPJ melakukan pemeriksaan terhadap bas ekspres pada Program Advokasi dan penutup Operasi Hari Raya JPJ Kelantan di Terminal Bas Lembah Sireh malam tadi. - Foto BERNAMA

Anggota JPJ menyamar sebagai penumpang bas

KOTA BHARU: Hasil daripada penyamaran anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai penumpang bas ekspres, sebanyak empat kesalahan dicatatkan sepanjang operasi sempena Hari Raya Aidilfitri.

Kesalahan yang dilakukan ialah memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Pengarah JPJ Kelantan, Mahassan Mustapa, berkata sebanyak 10 penyamaran termasuk penyamaran bergambar dilakukan sepanjang operasi yang dijalankan bermula 29 Mei dan berakhir malam tadi.

“Seramai 20 anggota JPJ ditugaskan untuk membuat penyamaran sebagai penumpang bas ekspres, iaitu dua orang setiap perjalanan secara bergilir.

“Hanya empat kesalahan dicatatkan iaitu memotong di garisan berkembar dan memandu sambil menggunakan telefon bimbit dan semua pemandu diberikan Notis Saman JPJ (P22),” katanya di sini malam tadi.

Beliau ditemui di sini selepas program Advokasi dan penutup Operasi Hari Raya dengan kerjasama daripada Syarikat Konsortium E-Mutiara Berhad, Ekspres Perdana dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Beliau turut mengagihkan sagu hati daripada dua syarikat pengusaha bas ekspres itu kepada penumpang dalam bentuk makanan ringan dan air kotak sebagai bekal dalam perjalanan.

Mahassan berkata, sepanjang operasi selama 16 hari itu, pihaknya menjalankan pemeriksaan di depoh serta terminal bas dan secara keseluruhan sebanyak 324 bas ekspres diperiksa.

“Daripada jumlah itu hanya empat bas ekspres sahaja yang perlu dijalankan penambahbaikan dari segi teknikal dan JPJ memberikan tempoh sehingga tujuh hari kepada pihak pengurusan untuk menyelenggara,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan untuk operasi itu, sebanyak 5,020 pemeriksaan kenderaan dilakukan dan 1,125 kesalahan dikenal pasti dilakukan oleh pengguna jalan raya.

“Kesalahan yang paling banyak dibuat ialah tiada lesen memandu, iaitu 335 saman diikuti lesen kenderaan motor tamat tempoh iaitu kira-kira 250 saman.

“Angka ini meningkat berbanding tahun lalu selari dengan pertambahan bilangan kenderaan yang diperiksa,” katanya.

619 dibaca
Berita Harian X