Khamis, 13 Jun 2019 | 12:49pm
Rabuze disahkan menghidap kanser membabitkan saraf otak sebelum diuji sekali lagi apabila turut disahkan doktor menghidap kanser payudara. - NSTP/Shahrinnahar Latib

Wanita derita hidap 2 kanser serentak

MARAN: Perumpamaan sudah jatuh ditimpa tangga sangat tepat bagi menggambarkan penderitaan hidup ditanggung suri rumah, Rabuze Saini, 42, apabila disahkan menghidap dua kanser serentak sejak tiga bulan lalu.

Ibu kepada empat orang anak itu pada mulanya disahkan menghidap kanser membabitkan saraf otak sebelum diuji sekali lagi apabila turut disahkan doktor menghidap kanser payudara.

Malah akibat kanser itu, mata kiri wanita itu membengkak seakan-akan seperti bebola matanya terkeluar.

Rabuze berkata, pada mulanya, dia hanya mengalami sakit di tepi mata kiri dan dalam masa seminggu matanya mula berair serta membengkak secara mendadak.

“Saya kemudian pergi mendapat rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh sebelum hasil pemeriksaan lanjut doktor mengesahkan saya menghidap kanser membabitkan saraf otak tahap dua.

“Dalam masa sama, payudara saya membengkak dan hasil ujian doktor juga turut mengesahkan saya menghidap kanser payudara tahap dua,” katanya ketika ditemui di rumahnya di FELDA Jengka 1 di sini.

Katanya lagi, setakat ini dia tidak membuat sebarang rawatan lanjut termasuk rawatan kimoterapi dan pembedahan kerana masih menunggu keputusan daripada doktor.

“Allah sahaja yang tahu macam mana sakitnya, terutamanya di bahagian mata yang membengkak ini. Setiap malam saya tidak boleh tidur kerana terlalu sakit.

“Pada masa ini, saya hanya bergantung kepada ubat yang diberikan doktor. Memang sakit sangat, semua kerja rumah saya tidak boleh buat, hanya mampu terbaring sahaja,” katanya.

Katanya, setakat ini keluarganya masih belum memohon sebarang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat kerana tidak mengetahui cara untuk berbuat demikian.

“Kami sekeluarga hanya mengharapkan pendapatan suami yang melakukan kerja-kerja kampung seperti ambil upah mengait kelapa sawit dan bertukang rumah... bolehlah untuk buat perbelanjaan isi rumah.

“Saya amat harap orang ramai dapat membantu meringankan beban kami sekeluarga dengan menyalurkan sumbangan terutamanya dalam mengurangkan beban membeli barang keperluan perubatan saya,” katanya.

928 dibaca
Berita Harian X