Rabu, 12 Jun 2019 | 4:42pm
CHOW Kon Yeow semasa sidang media di pejabatnya Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown. - Foto Ramdzan Masiam

Pulau Pinang terima pelaburan RM8.8b, tertinggi di Malaysia

GEORGETOWN: Pulau Pinang mencatatkan pelaburan RM8.8 bilion pada suku pertama tahun ini, sekali gus menjadi penyumbang pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi negara setakat ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata jumlah pelaburan ini meningkat 768 peratus berbanding jumlah keseluruhan pada tahun lalu iaitu RM5.8 bilion.

“Dalam keadaan sektor perdagangan dan industri Amerika Syarikat (AS) yang tidak menentu ekoran perang perdagangan antara AS-China, Pulau Pinang kekal unggul dan terus menjadi pilihan pelabur asing.

“Kami bangga untuk mengumumkan Pulau Pinang menyumbang 42 peratus jumlah keseluruhan FDI negara setakat ini dan ia adalah yang tertinggi berbanding negeri lain di Malaysia,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, jumlah pelaburan pada suku pertama itu membabitkan 41 projek dan mewakili 35 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara.

Malah, beliau berkata, pelaburan itu juga akan menghasilkan 10,073 peluang pekerjaan baharu, khususnya kepada penduduk Pulau Pinang.

“Selepas ini kerajaan negeri akan memberi fokus kepada pelaburan berkualiti tinggi yang dapat memberi banyak peluang pekerjaan dan yang sesuai dengan industri negeri.

“Kita juga akan sentiasa memantau ekonomi perdagangan antarabangsa dalam berhadapan dengan cabaran akan datang,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri mengulangi pendirian tidak maklum mengenai cadangan pembinaan dua lapangan terbang baharu di Pulau Pinang atau wilayah utara negara yang dikatakan akan dibina pemaju swasta.

Beliau berkata, pihaknya hanya mengetahui cadangan pembinaan dua lapangan terbang baharu itu menerusi laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan.

“Kerajaan negeri masih dengan pendirian sama dan langsung tidak mempunyai maklumat mengenai cadangan pembinaan lapangan terbang terbabit,” katanya.

Sebelum ini, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan dua syarikat pemaju swasta berminat membangunkan dua lapangan terbang baharu di daerah Seberang Perai Selatan.

Satu daripada pemaju swasta terbabit dikatakan sudah membentangkan cadangan berkenaan kepada Pejabat Perdana Menteri pada Januari lalu, manakala sebuah syarikat lagi dikatakan akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat.

Cadangan pertama projek itu dilapor dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA), manakala cadangan kedua pula dinamakan Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara Malaysia (NORIA).

Kedua-duanya dijangka dibina di Seberang Perai Selatan dengan masing-masing dicadang akan dibina pada jarak 10 kilometer.

203 dibaca
Berita Harian X