Rabu, 12 Jun 2019 | 3:11pm
DR Annuar Rapaee (berdiri di belakang empat dari kanan) menyampaikan dana kepada wakil kanak-kanak yang tidak bersekolah ketika perjumpaan dengan kanak-kanak, ibu bapa dan penjaga mereka di Sibu. - Foto Harun Yahya

12 kanak-kanak kembali ke sekolah

SIBU: Aidilfitri tahun ini menjadi detik paling bermakna bagi 12 kanak-kanak di Kampung Usaha Jaya Baru, Salim, di sini, apabila mereka kembali ke sekolah selepas tercicir atas pelbagai faktor.

Empat daripada murid yang berusia antara enam hingga 11 tahun itu, langsung tidak pernah bersekolah manakala lapan lagi ada yang sudah tidak bersekolah lebih dua tahun.

Menteri Muda Pendidikan Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee, berkata 12 murid itu dikesan tidak bersekolah dalam program ziarah asnaf yang dilakukan di kampung itu baru-baru ini.

“Kanak-kanak itu tercicir dari sekolah akibat masalah keluarga selain kekangan kewangan. Kami mengadakan pertemuan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sentosa untuk mencari penyelesaian isu itu.

“Bantuan persekolahan sahaja tidak memadai untuk menampung keperluan murid terbabit sebab itu saya meminta PIBG membantu memantau mereka selepas ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Annuar berkata, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka sudah meluluskan dana sebanyak RM7,300 untuk membeli keperluan sekolah untuk kanak-kanak itu termasuk menguruskan pendaftaran semula mereka ke sekolah.

“Beberapa orang daripada mereka sudah mula bersekolah sejak kelmarin (Isnin) manakala selebihnya akan mula ke sekolah dalam masa terdekat.

“Bagi yang tidak pernah bersekolah, mereka tetap dimasukkan ke kelas mengikut umur mereka. Mereka akan diberikan perhatian khusus di dalam kelas selain akan dimasukkan ke kelas peralihan bagi membantu mereka dalam subjek yang ketinggalan,” katanya

Katanya, program mengesan kanak-kanak yang tercicir dari persekolahan dilaksanakan di sekolah di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka bagi membendung kes pelajar tercicir.

“Agak mudah bagi kita mengesan murid yang tercicir kerana mereka ada rekod pendaftaran mereka ada di sekolah tetapi masalah timbul bagi kes kanak-kanak yang langsung tidak pernah bersekolah.

“Justeru saya berharap orang ramai dapat membantu melaporkan kepada sekolah sekiranya mereka tahu ada kanak-kanak yang tidak bersekolah di kawasan kediaman mereka agar tindakan intervensi dapat dilakukan bagi membantu kanak-kanak itu,” katanya.

90 dibaca
Berita Harian X