Isnin, 10 Jun 2019 | 12:52pm
KETUA Menteri, Chow Kon Yeow. - Foto Danial Saad

Kerajaan negeri tak maklum cadangan bina 2 lapangan terbang baharu

GEORGETOWN: Kerajaan negeri menegaskan tidak maklum mengenai sebarang cadangan pembinaan dua lapangan terbang baharu di Pulau Pinang atau wilayah utara negara yang dikatakan akan dibina pemaju swasta.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pihaknya bagaimanapun mengalu-alukan sesi perbincangan membabitkan pemaju terbabit bagi membincangkan cadangan pembinaan dua lapangan terbang baharu itu.

Katanya, ini kerana rakyat dan kedudukan ekonomi Pulau Pinang perlu menerima manfaat daripada sebarang cadangan atau pelaksanaan projek sedemikian.

“Kerajaan negeri juga akan terus mengkaji keperluan untuk membina lapangan terbang baharu pada masa akan datang, sama ada di Pulau Pinang atau negeri berhampiran.

“Selain itu, kerajaan negeri juga akan menunggu pembentangan kertas kerja bagi cadangan berkenaan diteliti, sekali gus memberi maklum balas mengenainya.

“Kita juga mahu mengulangi pendirian bahawa cadangan pembinaan lapangan terbang baharu tidak boleh menjejaskan fungsi dan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) serta setiap projek dirancang kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan, dua syarikat pemaju swasta berminat membangunkan dua lapangan terbang baharu di daerah Seberang Perai Selatan.

Salah satu pemaju swasta terbabit dikatakan sudah membentangkan cadangan berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan, manakala sebuah lagi syarikat dikatakan akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat.

Cadangan pertama projek itu dilapor dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA), yang dikatakan akan mengambil ribuan hektar tanah perusahaan sawah.

Manakala, cadangan kedua pula dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara Malaysia (NORIA) yang dikatakan akan mengambil 5,000 hektar pesisir pantai Seberang Perai Selatan dengan kedua-duanya dicadang dibina pada jarak 10 kilometer.

Cadangan itu dikatakan akan menyebabkan operasi LTAPP terpaksa ditamatkan, selain tapak lapangan terbang itu akan menjadi timbal balas kepada pemaju NMIA.

Berita Harian X