Khamis, 6 Jun 2019 | 2:43pm
Nelayan menjual hasil tangkapan menggunakan kaedah kelong di Pasar Besar Kota Kinabalu. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

Lubuk ikan semakin jauh ke tengah laut, kos semakin mahal

KOTA KINABALU: Tidak hanya faktor musim, perubahan lokasi `lubuk ikan’ yang semakin sukar dicari turut dikenalpasti sebagai faktor penyumbang kemerosotan bekalan hingga menyebabkan peningkatan harga makanan laut di negeri ini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Sabah (PENGASAH), Datuk Arsit Sedi, berkata jika sebelum ini nelayan boleh memperoleh hasil tangkapan yang baik walaupun hanya turun dua atau tiga batu nautika dari pantai, situasi sekarang sudah berubah.

Katanya, ketika ini nelayan perlu pergi jauh, khususnya di kawasan laut dalam jika mahu mendapatkan tangkapan yang baik kerana kawasan berhampiran pantai sudah kekurangan sumber ikan dan bukan lagi lubuk kepada nelayan.

“Bukan pasal tiada ikan kerana ikan sebenarnya masih banyak sebagaimana luasnya laut berbanding daratan tetapi sekarang untuk mendapatkannya, nelayan perlu pergi jauh ke tengah laut untuk mencari lubuknya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Sabah (PENGASAH), Datuk Arsit Sedi. - Arkib NSTP

“Sebab itu nelayan pantai ramai yang mengeluh tangkapan mereka semakin merosot kerana tidak banyak ikan boleh ditangkap di pesisir pantai. Tidak hairanlah mereka juga marah apabila ada bot pukat tunda menceroboh kawasan itu.

“Jika mahu tangkapan yang baik mereka perlu ke laut dalam, namun untuk sampai ke kawasan itu, nelayan memerlukan bot lebih besar, bahan api yang banyak dan tenaga kerja ramai,” katanya mengulas punca makanan laut di negeri ini yang semakin berkurangan dan mahal.

Bagi nelayan yang memiliki kemampuan beroperasi di laut dalam, mereka terpaksa menanggung kos tinggi setiap kali turun menangkap ikan dan atas sebab itu harga ikan dijual kepada pengguna menjadi mahal.

Beliau mendakwa penamatan subsidi bahan api kepada kategori nelayan yang menumpukan operasi di laut dalam memburukkan lagi keadaan kerana ia menyebabkan mereka terpaksa membeli bahan api dengan harga mahal.

“Sebelum ini mereka juga menikmati subsidi bahan api tetapi mulai tahun ini, kapal yang beroperasi di laut dalam ada yang tidak lagi mendapat kemudahan itu. Jadi mahu atau tidak, mereka terpaksa menjual hasil tangkapan dengan harga tinggi bagi mengimbangi kos.

“Ia antara sebab harga ikan di pasar seperti Pasar Besar Kota Kinabalu semakin mahal. Ikan basung (selayang) contohnya tidak pernah dijual dengan harga lebih RM10 sekilogram sebelum ini tetapi sekarang ada yang dijual RM15 sekilogram,” katanya.

Arsit turut mendakwa kekurangan bekalan ikan di pasar sejak kebelakangan ini mungkin ada kaitan dengan tindakan nelayan laut dalam mengurangkan aktiviti penangkapan disebabkan ketiadaan subsidi bahan api.

Lebih dibimbangkan, katanya, ada kemungkinan nelayan menjual hasil tangkapan kepada nelayan asing di tengah laut bagi menjimatkan kos bahan api kerana tidak perlu berulang-alik ke jeti untuk memasarkan hasil.

“Walaupun ia hanya andaian saya tetapi kita perlu mengambil perhatian terhadap perkara ini kerana ia tidak mustahil. Memang sukar dipercayai bekalan ikan di Sabah boleh berkurangan dengan drastik terutama sejak awal tahun ini sedangkan sebelum ini tidak.

“Bagi persatuan, kita mahu nelayan terus dibantu tanpa mengira kategori kerana bantuan kepada mereka terutama berkaitan subsidi bahan api mampu menjamin bekalan ikan mencukupi dengan harga berpatutan sepanjang masa,” katanya.

Sementara itu, kekurangan bekalan ikan di negeri ini terutama di Pasar Besar Kota Kinabalu dan pasar lain seluruh negeri turut dikaitkan dengan aktiviti eksport menyebabkan hanya baki tidak memenuhi `kriteria’ eksport yang tinggal untuk pengguna tempatan.

Difahamkan, ada syarikat perikanan menangkap ikan di perairan negeri ini menjual terus hasil tangkapan mereka kepada pelanggan dari negara jiran seperti Brunei dan hanya meninggalkan ikan kurang berkualiti untuk pasaran tempatan.

Ada juga syarikat yang menjalankan aktiviti penghantaran ikan segar terpilih ke Semenanjung melalui pesawat, khususnya dari Sandakan dan Tawau setiap hari.

Berita Harian X