Selasa, 4 Jun 2019 | 2:04pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melihat dan menerima persembahan kek sempena Hari Raya daripada beberapa hotel terkemuka semalam. - Foto BERNAMA

Agong, Raja Permaisuri Agong adakan Majlis Sambutan Aidilfitri 6 Jun

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, di sini, pada 6 Jun ini bersamaan 2 Syawal.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, berkata majlis itu akan berlangsung di Istana Abdulaziz dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.

“Semua rakyat jelata dijemput hadir dengan berpakaian sopan dan kemas yang bersesuaian dalam tempoh berkabung.

“Baginda berdua turut berkenan mengambil kesempatan itu untuk mencemar duli mengucapkan Selamat Hari Raya kepada rakyat Pahang dan tetamu jemputan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Ahmad Khirrizal berkata, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga menzahirkan rasa syukur kerana dapat menyambut Hari Raya bersama-sama rakyat untuk kali pertama selepas Seri Paduka dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari lalu.

Beliau berkata, tetamu majlis itu dibenarkan meletak kenderaan di tempat letak kereta Galeri KotaSAS dan Kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, di sini, bagi melancarkan pergerakan trafik pada hari berkenaan.

“Untuk kemudahan tetamu, perkhidmatan bas perantara disediakan di kedua-dua lokasi itu untuk membawa mereka ke Istana Abdulaziz,” katanya. – BERNAMA

383 dibaca
Berita Harian X