Khamis, 23 Mei 2019 | 11:42am
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner, Che Zaimani Che Awang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

363 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan

GEORGETOWN: Sebanyak 363 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan ke atas 91 individu dalam Ops Telefon Bimbit yang dijalankan di dua lokasi berasingan petang semalam.

Operasi dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan Jalan Pangkalan Weld itu antara jam 4 petang hingga 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata saman berkenaan dikeluarkan mengikut kesalahan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987; Seksyen 81 dan 108 akta sama.

“Sebanyak 228 saman dikeluarkan terhadap pemandu kereta atas pelbagai kesalahan, termasuklah menggunakan telefon bimbit, tidak menggunakan tali keledar, memandu melebihi had laju dan mengabaikan isyarat.

“Sebanyak enam saman dikeluarkan kepada pemandu lori, manakala 60 saman bagi penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan, termasuklah memandu melebihi had laju, tidak memakai topi keledar dan tiada lesen,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, sebanyak 25 saman dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan kenderaan pelbagai guna (MPV), membabitkan kesalahan pemanduan melebihi had laju dan menghalang lalu lintas.

“16 saman pula dikeluarkan kepada pemandu van, membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju dan menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, manakala tiga saman terhadap pemandu teksi.

“Sebanyak 19 saman dikeluarkan kepada pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) kerana memandu melebihi had laju dan menghalang lalu lintas, manakala dua saman ke atas pemandu lain-lain kenderaan,” katanya.

74 dibaca
Berita Harian X