Rabu, 22 Mei 2019 | 2:28pm
- Foto ihsan Dr Sahruddin Jamal
- Foto ihsan Dr Sahruddin Jamal
- Foto ihsan Dr Sahruddin Jamal

Majlis khatam al-Quran dapat sambutan

Gambar: FB HRH Crown Prince of Johor, Dr Sahruddin Jamal

KOTA TINGGI: Kira-kira 1,000 orang menghadiri majlis Khatam al-Quran dan Program Membudayakan al-Quran Peringkat Negeri Johor kali ke-24 di Masjid Al-Syifa, Bandar Penawar, di sini, petang semalam.

Mereka yang kebanyakannya masyarakat tempatan turut mengambil kesempatan meraikan kehadiran Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam yang berkenan berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Yang turut hadir, kerabat Diraja Johor termasuk Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi serta Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail.

Majlis tadarus, khatam al-Quran dan tahlil kemudian dipimpin oleh Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Sementara itu, Tosrin dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha meningkatkan syiar Islam dan memberi tumpuan terhadap pelbagai aktiviti membudayakan al-Quran di semua jabatan peringkat persekutuan, negeri serta institusi pendidikan di negeri ini.

Katanya, usaha itu dibuat bagi memastikan umat Islam di semua peringkat celik al-Quran dan berupaya menghayati isi kandungan kitab suci berkenaan dalam kehidupan seharian.

Dalam pada itu, Dr Sahruddin dalam laman Facebook rasminya, berkata amalan membaca al-Quran dituntut dalam mengimarahkan Ramadan, manakala khatam al-Quran dalam bulan berkenaan adalah amalan sahabat, ulama dan solihin.

“Alangkah ruginya jika kita tidak membaca al-Quran sepanjang bulan ini, apa lagi pada malam Nuzul al-Quran ini. Sebaik-baiknya marilah kita khatam kitab suci ini sekurang-kurangnya sekali bagi merebut ganjaran berlipat ganda yang dijanjikan Allah,” katanya.

Berita Harian X