Ahad, 19 Mei 2019 | 8:21pm
TIMBALAN Pengerusi Kasih Malaysia, Datin Seri Shamshida Taharin (empat dari kiri) menunjukkan kad Aidilfitri yang diterima pada majlis penutup Program Tautan Kasih Ramadan di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

200 anak yatim reka kad raya khas kepada Kasih Malaysia

PUTRAJAYA: Seramai 200 anak yatim menyiapkan dua kad Aidilfitri ditujukan khas buat Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia).

Kad berwarna merah jambu dan biru berukuran kira-kira satu meter itu mengandungi ucapan untuk isteri kepada anggota Kabinet termasuk Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri.

Kad berkenaan disampaikan kepada Timbalan Pengerusi Kasih Malaysia, Datin Seri Shamshida Taharin pada majlis penutup Program Tautan Kasih Ramadan di sini, hari ini.

Ada antara ucapan dalam kad berkenaan ditujukan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Shamshida, ketika ditemui selepas majlis terbabit, berkata pihaknya amat terharu dengan pemberian itu.

“Saya tidak sangka akan menerima kad daripada mereka. Dalam waktu yang singkat mereka boleh menyiapkannya.

“Sudah tentu kami akan sampaikan kad ini kepada semua ahli Kasih Malaysia terutama Pengerusi iaitu Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali,” katanya.

Pada program itu, Kasih Malaysia turut menyampaikan Kit Kasih kepada 200 anak yatim dari 12 rumah anak yatim sekitar Lembah Klang dan Johor.

Kit Kasih berkenaan antara lain mengandungi beberapa kelengkapan untuk sambutan Aidilfitri termasuk kuih dan sumbangan duit raya.

211 dibaca
Berita Harian X