Ahad, 19 Mei 2019 | 7:08pm
Syed Hussein (kiri) bersama Hasanuddin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal pada program Nur Ramadan anjuran PAMJ di Masjid Wilayah Persekutuan. - NSTP/Rosdan Wahid

PAMJ rai ibu tunggal, asnaf dan anak yatim

KUALA LUMPUR: Seramai 185 ibu tunggal, golongan asnaf dan anak yatim diraikan dalam satu majlis berbuka puasa dan sumbangan Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Majlis anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) bersempena program Nur Ramadan itu menjadi platform perjuangan persatuan berkenaan bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan.

Presiden Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ), Datuk Seri Syed Hussein Syed Abdul Kadir Alhabshee, berkata majlis terbabit akan membentuk satu persepsi baharu kepada proses menghayati amalan sepanjang Ramadan ini.

“Program Nur Ramadan ini bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik serta menyuburkan semangat kesukarelawan dalam kalangan umat Islam.

“PAMJ ikhlas membantu golongan ini supaya mereka juga dapat meraikan Ramadan dan kedatangan Aidilfitri dengan penuh bermakna,” katanya ketika berucap pada perasmian majlis terbabit.

Perasmian majlis itu disempurnakan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Syed Hussein berkata, program Nur Ramadan itu akan menjadi usaha berterusan PAMJ dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat.

184 dibaca
Berita Harian X