Ahad, 19 Mei 2019 | 5:58pm
AHLI Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Program Ziarah Mahabbah Ramadan di Hospital Port Dickson, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Salah faham selesai, pembinaan hotel diteruskan

PORT DICKSON: Rancangan untuk membangunkan Hotel Hard Rock di Port Dickson akan diteruskan dan proses pembinaannya dijangka bermula tahun ini.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pembinaan hotel itu diyakini akan memberi faedah kepada penduduk setempat dari segi penyediaan peluang pekerjaan, serta mampu menyumbang kepada pembangunan perniagaan kecil di kawasan sekitarnya.

“Menerusi perbincangan bersama pemilik dan pengusaha projek, mereka tidak mengemukakan syarat baharu dan sedia mematuhi peraturan sedia ada.

“Justeru, saya berbincang dengan kerajaan negeri dan (pembinaannya) tiada masalah,” katanya kepada pemberita pada Program Ziarah Mahabbah Ramadan di Hospital Port Dickson, di sini, hari ini.

Pada program itu, Anwar turut menziarah pesakit serta meluangkan masa bersama jururawat dan doktor sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka pada Ramadan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, rancangan untuk membina Hotel Hard Rock di daerah itu sebelum ini mendapat tentangan masyarakat setempat disebabkan persepsi kononnya pihak hotel itu akan menjual arak secara berleluasa.

“Sebelum ini adalah salah faham sebab nama Hard Rock Cafe, bunyi seolah-olah akan menjual arak berleluasa. Sebenarnya tak, ia macam syarat hotel biasa, maknanya tidak boleh dibenarkan melanggar peraturan sedia ada

“Masyarakat tidak perlu risau kerana sebelum ini gambaran yang diberikan tidak sama. Itu saya sendiri teliti, lihat syarat-syarat, malah mereka memberi jaminan akan bantu dari segi peluang pekerjaan dan menjaga kebersihan kawasan, jadi ini akan memberi faedah kepada penduduk setempat,” katanya.

918 dibaca
Berita Harian X