Ahad, 19 Mei 2019 | 5:41pm
Dr Mujahid (dua dari kiri) melawat pesakit di wad Hospital Parit Buntar. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Pesakit HPB semakin ramai, perlu mesin ultrasound

PARIT BUNTAR: Ketiadaan mesin ultrasound dan mesin pengimbas untuk pesakit yang semakin bertambah di Hospital Parit Buntar (HPB) akan dipanjangkan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata purata pertambahan 200 pesakit sehari di HPB menjadikan peralatan itu amat diperlukan di hospital berkenaan.

“Jabatan Kecemasan HPB memaklumkan mereka ketiadaan mesin ultrasound dan mesin pengimbas seperti yang disediakan di Hospital Taiping dan Kuala Kangsar, di mana mesin itu amat penting dalam menentukan jenis penyakit atau kecederaan yang dialami pesakit yang berada di unit kecemasan.

“Saya akan memanjangkan perkara ini kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan membuat surat rasmi kepada Menterinya, Dr Dzulkefly bagi membolehkan hospital ini memiliki mesin tersebut,” katanya ditemui selepas menziarahi pesakit sempena Ramadan di HPB di sini hari ini.

Katanya, pihaknya dimaklumkan harga mesin berkenaan dianggarkan sekitar RM200,000 amat berharap KKM dapat mempertimbangkan untuk menyediakan kemudahan itu dengan segera kerana ia sangat penting kepada hospital dan pesakit yang mendapatkan rawatan.

249 dibaca
Berita Harian X