Ahad, 19 Mei 2019 | 3:19pm
Jefridin menyampaikan sumbangan kepada penerima pada majlis Kembara Modal Insan 3.0: Semarak Kasih Ramadan di Tanjung Piai, Pontian Johor.

LEGASI serah sumbangan kepada 150 individu

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI) meneruskan program Kembara Modal Insan dengan menyampaikan sumbangan kepada 150 individu dan keluarga sekitar Tanjung Piai, Johor bagi menceriakan lagi bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri.

Pengerusinya, Datuk Jefridin Atan, berkata program dinamakan Kembara Modal Insan 3.0: Semarak Kasih Ramadan itu adalah tanda prihatin LEGASI terhadap golongan yang memerlukan di samping mengajak masyarakat turut bersama untuk membantu.

Katanya, penerima sumbangan terdiri daripada golongan kurang berkemampuan, orang kelainan upaya (OKU), uzur, ibu tunggal dan anak yatim.

“LEGASI membawa nama Kembara Modal Insan dan kami percaya inisiatif ini dapat meneruskan kepemimpinan bekas Perdana Menteri Malaysia Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan sambil menyantuni dan mendekati golongan yang memerlukan.

“Setiap penerima membawa pulang barangan keperluan asas seperti beras, tepung, minyak, gula, kopi, susu, kordial dan kurma. Turut disertakan, kelengkapan raya seperti kain batik, kain pelikat dan duit raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sebahagian daripada penerima sumbangan Kembara Modal Insan 3.0: Semarak Kasih Ramadan bergambar di kediaman Jefridin di Tanjung Piai, Pontian, Johor.

Sementara itu, penerima bantuan, Nordin Harun, 61, berkata beliau bersyukur dengan sumbangan disalurkan oleh pihak yang prihatin.

Nordin, seorang OKU dan bergerak menggunakan kerusi roda, turut menyara tujuh orang anaknya.

“Sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga. Majlis seumpama ini juga memberi peluang kepada saya untuk mengeratkan silaturahim dengan penduduk kampung dan rakan-rakannya yang lama tidak bertemu selepas kaki kanan ini dipotong,” katanya.

Kembara Modal Insan 3.0 yang anjurkan oleh LEGASI ini berkesinambungan daripada Kembara Modal Insan 1.0 dan 2.0 yang diadakan tahun lalu.

103 dibaca
Berita Harian X