Ahad, 19 Mei 2019 | 3:11pm
Bunga (tengah) bersama menantu dan cucu melihat gambar rumah mereka yang terbakar 15 September lalu. - NSTP/Nor Amalina Alias

18 sekeluarga terpaksa tinggal berhimpit di rumah sewa

KOTA BHARU: Ketika umat Islam lain sibuk membuat persiapan raya, seorang warga emas dan 17 ahli keluarganya meneruskan ibadah puasa dan berhari raya nanti di rumah sewa dalam keadaan serba daif.

Bunga Awang, 74, berkata dia terpaksa tinggal berhimpit di rumah sewa itu bersama empat anak, Azizul Abdullah, 36; Nor Azma, 38; Anuar, 42; dan Nor Azmi, 49, serta pasangan dan anak masing-masing, termasuk lapan cucu.

Katanya, mereka terpaksa menyewa di situ selepas dua rumah yang didiaminya dan anak di Kampung Alor Bakat, di sini, hangus dijilat api dalam kejadian 15 September tahun lalu.

“Kami tidak mampu membina semula rumah memandangkan anak-anak hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu, selain masing-masing mempunyai tanggungan yang ramai.

“Tahun ini, kami tidak ada rasa mahu beraya kerana duduk berhimpit di rumah sewa sejak sebulan lalu. Selepas kediaman hangus, kami hidup berpindah-randah menyewa rumah termasuk penginapan,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Melor, di sini.

Bunga berkata, ada anak dan cucu yang terpaksa tidur di ruang tamu serta di bawah tangga rumah sewa yang hanya ditutupi selimut sebagai kelambu kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain.

“Kalau ikut hati, suka tinggal di rumah sendiri walaupun kecil, namun tahun ini saya tidak tahu macam mana hendak sambut raya kerana tidak dapat terima kehadiran saudara-mara dan tetamu seperti biasa yang kami buat termasuk menyediakan makanan. Pakaian raya pun tak ada,” katanya dengan nada sedih.

Menantunya, Rohaya Ya, 43, berkata mereka juga memakai pakaian yang disedekahkan orang ramai selepas kebakaran kerana mereka semua tinggal sehelai sepinggang.

Katanya, selepas kebakaran ada pihak mendakwa mahu membina semula rumah mentua dan rumahnya, namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan.

“Mak dan suami (Nor Azmi) sudah beberapa kali pergi ke pejabat tapi dikatakan lulus, namun hingga kini tak dapat apa-apa berita, malah kami dah habiskan duit bersihkan tapak rumah yang terbakar untuk membina semula kediaman,” katanya.

Azizul berkata, mereka terpaksa membuat pelbagai kerja untuk menampung perbelanjaan harian, sewa rumah dan bil yang mahal kerana didiami ramai orang.

“Saya sendiri perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah berusia antara lapan hingga 14 tahun, mana nak sempat ada duit nak buat rumah, saya kasihan tengok ‘Mek’ (Bunga) yang sering menyebut nak balik ke rumah yang sudah terbakar, namun apa mampu kami buat,” katanya yang juga ibu tunggal dan mempunyai seorang anak orang kurang upaya (OKU).

400 dibaca
Berita Harian X