Ahad, 19 Mei 2019 | 2:44pm
Khalid (kiri) dan Rodziah (dua dari kanan) beramah mesra bersama penerima sumbangan ketika program Jom Shopping bersama ADUN Batu Tiga Pasaraya Giant Kemuning Utama, Bukit Kemuning. - NSTP/Saddam Yusoff

Pemindahan lokasi bazar Ramadan adalah yang terbaik - Khalid Samad

SHAH ALAM: Pemindahan bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Masjid India ke Jalan Raja adalah tindakan terbaik yang dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata pemindahan juga akan dikekalkan pada tahun akan datang sekiranya ia mencapai objektif yang diinginkan.

“Saya yakin keputusan memindahkan bazar Ramadan dari lorong yang kecil dan sempit itu adalah tindakan yang baik daripada DBKL.

“Masalah yang timbul di bazar Ramadan Jalan Raja juga sudah kita tangani seperti laluan air tersumbat dan mulai malam tadi, sudah ada pendingin hawa di dalam khemah berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, ketika menyertai program Jom Shopping RM100 bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail, di Pasaraya Giant Kemuning Utama, Bukit Kemuning di sini, beliau mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana terus merakyatkan ekonomi Selangor.

“Difahamkan tahun ini lebih meriah kerana 920 penerima menerima baucer beli-belah bernilai RM100 daripada kerajaan negeri,” katanya.

Mengulas mengenai bazar Ramadan di Jalan Raja, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, berkata pengunjung mulai ramai ke bazar berkenaan dan beliau yakin bilangannya akan bertambah kerana Ramadan akan berakhir dalam tempoh dua minggu lagi.

“Kita akan melihat jika lokasi berkenaan akan dikekalkan sebaik saja Ramadan berakhir dan jika ia mencapai apa yang kita inginkan, lokasi itu akan dikekalkan pada penganjuran bazar pada tahun yang akan datang,” katanya.

Isnin lalu, BH Online melaporkan beberapa lot tapak niaga di Bazar Ramadan Jalan Raja khususnya di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad menghadapi masalah air bertakung sehingga menjejaskan operasi perniagaan.

546 dibaca
Berita Harian X