Ahad, 19 Mei 2019 | 2:19pm
Norhizam (dua dari kiri) menyampaikan saguhati kepada nelayan di Pejabat Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau, Lubok Cina. - NSTP/Hassan Omar

106 nelayan lega terima bayaran sagu hati

ALOR GAJAH: Seramai 106 nelayan yang sebelum ini hampa tidak diberikan bayaran sagu hati oleh syarikat pemilik konsesi mengorek pasir, bagaimanapun kini lega apabila menerima wang itu yang kini dibayar oleh syarikat baharu mengambil alih projek.

Nelayan itu adalah dari Pangkalan Nelayan Kampung Paya Lebar, Sungai Timun, Telok Berembang, Tebing Urut dan Ramuan Cina, Lubok Cina, dekat sini menerima sagu hati antara RM300 dan RM500.

Hassan Sulaiman, 58, berkata pembayaran berkenaan menamatkan penantian nelayan sejak dua bulan lalu selepas projek mengorek pasir di Sungai Rembau dimulakan syarikat yang diberikan konsesi melaksanakan kerja itu di sepanjang 3.5 kilometer (km) sungai.

“Alhamdulillah, kedatangan Aidilfitri kali ini diceriakan dengan pemberian wang itu kerana dengannya dapatlah saya membuat persediaan lebih bermakna,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sagu hati berkenaan di Pejabat Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau, Lubok Cina, di sini, hari ini.

Bantuan itu disampaikan oleh EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee yang turut dihadiri Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Halal Hub Sdn Bhd (Halal Hub), Md Zaini Zainal.

Sementara itu, Norhizam berkata, konsesi syarikat lama sebelum ini sudah ditamatkan minggu lalu berikutan kegagalan mereka mematuhi syarat operasi dan tidak menepati janji untuk memberikan sagu hati kepada nelayan terbabit.

“Kerajaan negeri membatalkan kontrak syarikat yang sebelum ini tanpa perlu membayar pampasan kepadanya dan memberikan konsesi itu kepada Halal Hub yang bersedia membayar sagu hati RM37,600 kepada 106 nelayan.

“Syarikat sebelum ini bukan setakat merosakkan tebing sungai, malah beroperasi di tapak pengeluaran di kawasan berhampiran Pangkalan Nelayan Tebing Urut. Ia jelas merosakkan ekosistem dan habitat udang galah serta ikan,” katanya.

Beliau menegaskan, selain berjanji melakukan kerja pembaikan tebing sungai, Halal Hub juga berjanji akan melepaskan anak udang galah dan ikan lampam ke sungai selepas kerja berkenaan selesai dalam tempoh enam bulan.

Md Zaini berkata, syarikat berkenaan mengendalikan pelbagai jenis perniagaan berteraskan konsep halal dan walaupun kerja mengorek pasir agak baharu baginya, mereka akan melantik kontraktor bagi memastikan projek berkenaan menguntungkan.

345 dibaca
Berita Harian X