Ahad, 19 Mei 2019 | 2:09pm
Yusdey menyediakan ayam yang dimasak di dalam timbunan garam di gerainya di Bazar Ramadan Taman Ria. - NSTP/Nor Farhani Che Ad

Ayam dimasak dalam timbunan garam cetus kelainan

SUNGAI PETANI: Ayam dimasak di dalam timbunan garam, itu kelainan yang ditampilkan oleh peniaga, Yusdey Ismail, 43, yang menjalankan perniagaannya di Bazar Ramadan Taman Ria, di sini.

Katanya, sajian yang berasal dari Asia Barat itu diolah menggunakan kaedah tersendiri yang dipelajarinya melalui internet.

“Kalau diikutkan sajian ini dimasak menggunakan pembakar tanah liat, namun kesukaran untuk mendapatkannya membuatkan saya reka cara tersendiri.

“Saya gunakan dapur kayu dan ayam kemudiannya dimasak di dalam timbunan garam.

“Garam yang diletakkan di atas api akan menjadi keras sekali gus memberi hasil masakan yang lebih sempurna,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, garam yang digunakan juga tidak menjejaskan rasa masakan kerana dibalut menggunakan pembalut aluminium.

Beliau yang berpengalaman dalam perniagaan ayam pasu sejak 2014 berkata, teknik itu digunakan bagi mencari kelainan dalam perniagaannya.

Katanya, sajian itu mendapat sambutan di restoran miliknya di Port Dickson, Negeri Sembilan apabila ia mula diperkenalkan pada Mac lalu.

“Restoran ditutup sepanjang bulan Ramadan ini dan saya pulang ke kampung isteri di Yan sambil menjalankan perniagaan di sini,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini masih ramai yang singgah di gerainya hanya untuk melihat cara penyediaan ayam garam terbabit.

“Benda baharu memang orang akan rasa pelik dan ada juga yang bimbang makanan menjadi masin disebabkan penggunaan garam itu.

“Pada awal jualan hanya beberapa ekor ayam sahaja yang terjual, namun, bila ada yang sudah mencuba, mereka akan datang pada hari seterusnya dan kini lebih 20 ekor ayam terjual setiap hari,” katanya.

3990 dibaca
Berita Harian X