Ahad, 19 Mei 2019 | 1:49pm
ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusof meninjau persiapan akhir kerja-kerja pembinaan jambatan baharu merentasi Sungai Nenggiri menghubungkan Jalan Gua Musang-Jeli di Kampung Pulau Setelu. - NSTP/Ramli Ibrahim

Jambatan kekal Pulau Setelu dijangka siap sebelum Aidilfitri

GUA MUSANG: Penantian hampir lima tahun bagi 5,000 penduduk di 10 kampung untuk menikmati kemudahan jambatan baharu merentasi Sungai Nenggiri dekat Kampung Pulau Setelu, di sini, akan berakhir apabila kemudahan itu dapat digunakan sebelum Aidilfitri ini.

Jambatan kekal menghubungkan Jalan Gua Musang-Jeli sepanjang 700 meter itu dengan kos pembinaan RM36.7 juta memberi kelegaan buat penduduk Kampung Kuala Lah, Pulau Setelu, Prak, Jerek, Kuala Tol, Star, Meranto, Bertam Lama, Pasir Tumbuh dan Kampung Kala.

Seorang penduduk Kampung Pulau Setelu, Zainudin Abdullah, 60, berkata sudah sekian lama penduduk berdepan masalah perhubungan selepas jambatan konkrit runtuh dilanda banjir besar pada Disember 2014.

Katanya, walaupun kerajaan sudah membina jambatan sementara, tetapi kemudahan itu kerap tenggelam setiap kali hujan lebat menyebabkan air Sungai Nenggiri naik mendadak.

“Jambatan baharu bakal dibuka sebelum Aidilfitri ini dapat mengatasi kesesakan penggunaan jambatan sementara untuk warga kota pulang menyambut hari raya di kampung halaman,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Karmizi Jalil, 51, pula berkata, sejak jambatan konkrit lama runtuh berikutan dilanda banjir besar, pasaran pertanian penduduk juga terjejas.

Katanya, ini kerana, penggunaan jambatan sementara kerap kali rosak menyebabkan mereka terpaksa menyeberangi sungai dengan bot.

“Alhamdulillah, akhirnya kami semua akan dapat menggunakan jambatan baharu yang lebih selesa menjelang Aidilfitri ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusof, berkata jambatan yang dibina lebih besar untuk laluan dua lorong berbanding sebelum ini sememangnya dinanti-nantikan penduduk dan pengguna Jalan Gua Musang-Jeli terutama bagi penggunaan musim perayaan nanti.

“Insya-Allah, jambatan baharu itu akan dibuka menjelang Aidilfitri nanti dan kerja-kerja pembinaan juga sudah di peringkat akhir persiapannya,” katanya.

285 dibaca
Berita Harian X