Khamis, 16 Mei 2019 | 12:34pm
Keadaan tong sampah berpusat di Batu 8, Kuantan yang disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah. - Foto ihsan SWCORP

'Sampah tumpang' penuhi tong sampah berpusat

KUANTAN: Sikap tidak bertanggungjawab orang ramai menyebabkan tong sampah berpusat yang disediakan di sekitar daerah ini disalah gunakan sehingga terdapat ‘sampah tumpang’.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid, berkata selain orang awam, peniaga bazar Ramadan turut dikesan mengambil kesempatan membuang sampah ke dalam tong sampah berpusat.

Beliau berkata, hasil pemantauan pihaknya mendapati terdapat longgokan sampah seperti hampas tebu dan sabut kelapa di dalam tong sampah itu.

“Tujuan tong sampah ini disediakan di tepi jalan adalah untuk kegunaan penduduk kampung atau kawasan perumahan. Tetapi, kita dapati banyak berlaku kes ‘sampah tumpang’ menyebabkan ia sukar diurus.

“Disebabkan itu, SWCorp dalam proses mengalih dan menyusun atur pusat tong sampah ke lokasi yang lebih strategik bagi menghalang pihak tidak sepatutnya membuang sampah di situ,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bagi mengalihkan tong sampah terbabit serta melakukan pemantauan.

Sharudin berkata, di sekitar daerah ini saja ada lebih 100 pusat tong sampah berpusat dan kerja pengalihan akan dilakukan secara berperingkat.

“Mengenai sampah di bazar Ramadan, ia bukan bidang kuasa SWcorp. Sebaliknya, diuruskan sendiri oleh pihak yang menyelia tapak terbabit,” katanya.

Berita Harian X