Khamis, 16 Mei 2019 | 12:20pm
LEBIH 100 penduduk berbuka puasa beramai-ramai di Taman Rekreasi, Lembah Sireh, menghadap Sungai Kelantan. - Foto Nor Amalina Alias

Buka puasa depan Sungai Kelantan

KOTA BHARU: Taman rekreasi belakang Pasaraya Tesco di Lembah Sireh, di sini, menjadi tumpuan penduduk Kota Bharu dan sekitar, berbuka puasa sejak awal Ramadan lalu.

Ini berikutan lokasi terbabit mempunyai persekitaran padang yang luas, serta menghadap Sungai Kelantan.

Tinjauan mendapati lebih 100 orang dengan sebahagian besar pengunjung membawa ahli keluarga selain turut kelihatan anak-anak muda berbuka puasa bersama-sama rakan mereka.

Ada yang membawa makanan yang dibeli daripada bazar Ramadan dan tak kurang juga ada yang membawa periuk nasi dan lauk-pauk yang dimasak dari rumah untuk berbuka puasa di kawasan lapang itu.

Penduduk, Rafiiq Abdul Rahim, 23, berkata dia pertama kali berbuka puasa di kawasan itu selepas melihat lokasi itu yang tular di Facebook sebagai tempat berbuka puasa.

Katanya, dia melihat cara berbuka puasa beramai-ramai itu sesuatu yang menarik, lalu mengajak lapan rakannya untuk berbuka puasa di situ.

“Kami membeli di Bazar Ramadan berdekatan dan bawa makanan serta minuman ke padang ini untuk berbuka puasa bersama-sama.

“Rasa seronok dapat berbuka di tempat terbuka begini, rasa macam berbuka bersama keluarga yang besar,” katanya ketika ditemui di kawasan padang Lembah Sireh, di sini, semalam..

Sementara itu, Fadzillah Mat, 56, berkata dia membawa nasi dan lauk-pauk yang dimasak dari rumah dan datang berbuka di situ bersama suami, anak dan anak saudara.

Katanya, mereka sudah beberapa kali datang berbuka di situ memandangkan mereka sekeluarga suka ‘bertukar angin’ untuk berbuka beramai-ramai.

“Asyik berbuka di rumah bosan juga, jadi saya bawa nasi dan lauk sendiri makan kat sini, lagipun di sini pengunjung menjaga kebersihan. Siap saja makan dan minum, semua sampah sarap dibuang terus ke tong sampah yang disediakan, jadi tempat ni bersih dan buat kami sekeluarga selesa nak datang berbuka lagi.

“Lebih seronok, bawa sendiri tikar dan berbuka dengan bersila, memang seronok, sementara menunggu waktu berbuka pula, anak-anak boleh bermain-main di taman ini,” katanya yang tinggal di Wakaf Baru.

Siti Aishah Awang, 20, pula menyifatkan berbuka puasa di kawasan itu menjimatkan wang bagi mereka yang bercadang berbuka beramai-ramai tetapi tidak mahu mengeluarkan kos seperti makan di hotel atau restoran.

Berita Harian X