Rabu, 15 Mei 2019 | 6:47pm
SETIAUSAHA Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani. - Foto Hairul Anuar Rahim

Aidilfitri: Penjawat awam Johor terima bantuan khas minimum RM1,000

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2019 sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani, berkata pemberian bantuan khas itu diputuskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri, hari ini.

“Pembayaran bantuan khas kewangan ini akan dibuat dua kali, iaitu RM500 pada 21 Mei (Selasa) dan bakinya selewat-lewat 31 Mei (Jumaat), kepada 19,602 penjawat awam negeri, termasuk yang berkhidmat di pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri.

“Semakan kelayakan bayaran bantuan khas kewangan ini boleh dirujuk melalui Pekeliling Perkhidmatan Negeri Johor Bilangan 2 Tahun 2018 (Pindaan),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Azmi berkata, pemberian bantuan khas itu adalah sebagai keprihatinan kerajaan untuk meringankan beban kewangan penjawat awam sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, dilaporkan berkata beliau sudah meluluskan peruntukan bagi bantuan khas kewangan sempena Aidilfitri yang akan diagihkan sebelum perayaan itu.

Mengikut rekod, Kerajaan Johor bersetuju memberi bantuan khas kewangan sebanyak RM1,500 seperti yang diumumkan bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, ketika membentangkan Belanjawan Johor 2019 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), November tahun lalu.

Daripada jumlah itu, RM1,000 sudah dibayar kepada 16,511 penjawat awam Johor, termasuk yang berkhidmat di PBT dan badan berkanun negeri pada 2 Januari lalu.

1883 dibaca
Berita Harian X