Rabu, 15 Mei 2019 | 5:09pm
MOHAMMAD Firdaus Hong Abdullah (kanan) bakal dipilih sebagai ikon Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Rezeki Firdaus Hong dipilih Ikon LZNK

ALOR SETAR: Kanak-kanak mualaf, Mohammad Firdaus Hong Abdullah, 12, akan dipilih sebagai ikon Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) berikutan personalitinya yang mampu dijadikan contoh kepada pelajar lain.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Sheikh Zakaria Othman, berkata pihaknya juga akan memberi bantuan pendidikan bulanan sebanyak RM100 selain menawarkan Mohammad Firdaus melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Satu di Maahad Ad Dini Sultan Abdul Halim pada tahun hadapan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas pihaknya membuat lawatan dan tinjauan ke rumah Mohammad Firdaus di Tunjang, Jitra, baru-baru ini.

“Anak sulung pasangan Lim Hu Kheng, 45, dan Wan Dee Fandesa, 41, itu sungguh istimewa dan diberi pelbagai kelebihan oleh Allah kerana cemerlang dalam pelajaran serta sudah boleh membaca al-Quran dengan baik.

“Malah dia juga mampu berbahasa Melayu, Cina dan Siam kerana bapanya berketurunan Tionghua, manakala ibunya berketurunan Siam.

“Jadi selepas ini kita akan melengkapkan anak ini dengan bahasa Arab pula jika dia bersetuju ditempatkan di Maahad Ad Dini Sultan Abdul Halim,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembayaran Agihan Balik Zakat Sekolah Fasa Pertama 2019 di Maktab Mahmood, di sini, hari ini.

Zakaria berkata, pihaknya juga sedia membiayai yuran pengajian dan kelengkapan sekolah Mohammad Firdaus ke maahad berkenaan tahun hadapan, selain membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri tahun ini.

“Firdaus atau nama asalnya Lim Ching Hong adalah insan terpilih kerana dapat memeluk Islam pada usia muda tanpa halangan kedua ibu bapanya.

“Bagi saya dia mempunyai sejarah perjalanan memeluk Islam yang unik kerana ayah dan ibunya memberi komitmen, termasuk menjaga adab tatasusila dan berjanji menjadikannya umat Islam yang patuh pada agama,” katanya.

Minggu lalu, BH melaporkan perbezaan agama tidak menghalang seorang bapa berketurunan Cina di Tunjang, mengejutkan anak sulungnya yang beragama Islam bangun bersahur setiap hari pada bulan Ramadan ini.

Selepas bersahur, Hun Kheng akan memastikan anaknya solat Subuh sebelum menghantarnya ke sekolah, termasuklah Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) pada sebelah petang.

Mohammad Firdaus yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Hakim Teh, Kubang Pasu, mengambil keputusan memeluk Islam atas kerelaan sendiri pada Mac tahun lalu, selepas berkawan dan bergaul dengan ramai rakan berbangsa Melayu.

Berita Harian X