Selasa, 14 Mei 2019 | 5:50pm
ADAM Yii

Bandaraya Miri syurga juadah `bersungkei'

MIRI: Bandaraya Miri berubah wajah menjadi `syurga makanan’ dengan lebih 350 gerai makanan dan minuman beroperasi di beberapa lokasi bazar Ramadan di sekitar bandar raya ini.

Paling menjadi tumpuan ialah bazar Ramadan di kawasan parkir Stadium Tertutup Miri, di sini yang menyediakan pelbagai juadah unik untuk berbuka puasa atau `bersungkei’ dalam dialek tempatan.

Ia tidak hanya menarik perhatian warga bandaraya, bahkan juga pelancong asing, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan penganjuran Pesta Bandaraya Miri 2019.

Datuk Bandar Miri, Adam Yii berkata, penyediaan ruang niaga berkenaan sebahagian daripada inisiatif Majlis Bandaraya Miri (MBM) membantu golongan usahawan sempena kedatangan bulan puasa.

“Namun, apa yang menarik, bazar berkenaan tidak hanya bertumpu kepada juadah berbuka puasa semata-mata, malah pelbagai produk kraf yang mewakili etnik dan masyarakat setempat,” katanya kepada BH, di sini hari ini.

Adam berkata, jumlah gerai yang dibuka tahun ini mencatatkan peningkatan berbanding tahun, sekali gus membuktikan ramai dalam kalangan warga bandar raya ini berminat menjalankan aktiviti perniagaan kecil kecilan.

Katanya, kemeriahan orang ramai berkunjung ke bazaar itu membuka peluang kepada peniaga ke arah meningkatkan pendapatan masing-masing, terutama menjelang Aidilfitri.

“MBM menggalakkan lebih ramai penduduk, khususnya golongan Bumiputera menjalankan aktiviti perniagaan seperti fenomena yang berlaku sepanjang Ramadan ini.

“Malah, sambutan terhadap ruang niaga disediakan kali ini amat baik walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu,” katanya.

Lebih membanggakan, katanya, penganjuran bazar itu turut menarik perhatian warga Brunei Darussalam yang sanggup datang ke bandar raya ini untuk membeli juadah berbuka.

Selain Stadium Tertutup Miri, bazar itu turut dianjurkan di Permyjaya, Lutong, Mosjaya dan Saberkas.

153 dibaca
Berita Harian X