Selasa, 14 Mei 2019 | 2:56pm
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (tiga dari kiri) ketika mengadakan sidang akhbar pertandingan akhir Festival Tari dan Lagu Asli Sarawak 2019 di Kuching. - Foto Norsayazwani Nasri

Festival semai kecintaan terhadap seni, budaya tanah air

KUCHING: Festival Tari dan Lagu Asli Sarawak 2019 menjadi platform terbaik untuk menyemai minat serta kecintaan masyarakat, khususnya anak muda di negeri ini terhadap seni dan budaya tanah air.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata festival itu adalah acara ikonik Majlis Seni Sarawak (MSS) setiap tahun bagi mencungkil bakat baharu dalam bidang tarian dan nyanyian lagu asli.

“Kita berharap program ini dapat menyemai minat dan kecintaan masyarakat, khususnya dalam kalangan anak muda, supaya mengenali serta menghargai seni dan budaya tanah air.

“Melalui festival ini, semangat perpaduan, persefahaman dan saling menghormati antara kaum juga dapat diwujudkan serta menjadi amalan masyarakat, terutama di Sarawak,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Selain itu, beliau berkata, Festival Tari dan Lagu Asli Sarawak 2019 mampu menjadi wadah perkembangan seni tanah air kerana peserta turut diberikan pendedahan keilmuan dan bengkel tari.

“Pertandingan ini menampilkan dua jenis tarian tradisional, iaitu tarian ngajat Iban dan tarian etnik kreatif, manakala pertandingan lagu asli pula menyaksikan peserta membawa lagu asli Melayu.

“Kepelbagaian warisan kesenian unik ini wajar dipertahan untuk mengekalkan identiti generasi akan datang, selain menjadi produk pelancongan yang dapat meningkatkan sumber ekonomi negeri, komuniti dan individu terbabit,” katanya.

Beliau berkata, festival itu bermula di Betong pada Oktober tahun lalu dan menjelajah ke seluruh Sarawak meliputi Sarikei, Sri Aman, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri, Kuching, Limbang, Kapit, Kota Samarahan dan Serian.

Seramai 14 peserta pertandingan lagu asli dan 12 kumpulan tarian akan berentap pada peringkat akhir Festival Tari dan Lagu Asli Sarawak 2019 dari 4 hingga 6 Julai depan di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Kalong Ningkan, Betong.

Berita Harian X