Isnin, 13 Mei 2019 | 1:06pm
PENGURUS Projek Program Ceria Malaysia, Muhammad Rafiq Ravi Abdullah. - NSTP/Sairien Nafis

Keperitan hidup nelayan Kuala Langat dapat perhatian NGO

KUALA LANGAT: Pendedahan keperitan hidup nelayan Kuala Langat yang disiarkan BH pada Mac lalu, mendapat perhatian sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Al-I’tisam Relief Program (Al-I’tisam) untuk membantu 200 keluarga nelayan di kawasan itu.

Pengurus Projek Program Ceria Malaysia, Muhammad Rafiq Ravi Abdullah, berkata Al-I’tisam menerusi Iftar Ramadan Ceria Malaysia buat julung kalinya memilih mereka yang kurang berkemampuan dalam kalangan nelayan.

“Biasanya setiap Ramadan kami beri bantuan barang dapur (bantuan iftar) kepada asnaf miskin, tetapi tahun ini kami melihat tiga golongan memerlukan perhatian akibat kejatuhan ekonomi iaitu pekebun sawit, penoreh getah dan nelayan.

“Pekebun sawit dan getah menghadapi kejatuhan harga sawit dan getah, nelayan dihimpit pelbagai masalah termasuk hasil tangkapan berkurangan sehingga pendapatan mereka merosot.

“Justeru, kami mengambil inisiatif membantu nelayan susulan laporan BH yang menyiarkan pelbagai masalah dihadapi nelayan di Kuala Langat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penyerahan sumbangan dan berbuka puasa bersama 200 keluarga nelayan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Islam (PERKIM) Selangor dan Eye Centre, Management & Science University (MSU) di Jeti Nelayan Kampung Kelanang di sini.

Muhammad Rafiq berkata, 200 keluarga nelayan itu menerima sumbangan iaitu 17 jenis barang keperluan asas, iaitu 14 jenis barang makanan dan tiga jenis barang kegunaan harian.

“Barangan ini daripada hasil sumbangan orang ramai yang memberikan kepercayaan kepada Al-I’tisam menyantuni insan memerlukan, Insya-Allah cukup untuk satu bulan setiap keluarga,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, nelayan juga berpeluang menjalani pemeriksaan mata Fasa 1 serta menerima cermin mata percuma daripada MSU.

“Pemeriksaan mendapati masalah penglihatan termasuk katarak dalam kalangan nelayan tinggi, jadi Fasa 2 perlu dilakukan secepat mungkin dengan membawa mereka ke Hospital MSU bagi rawatan lanjut dan melakukan pembedahan pemulihan jika perlu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Langat, Mat Jaman Haris, melahirkan kesyukuran atas keprihatinan Al-I’tisam yang berusaha membantu meringankan bebanan nelayan di situ.

“Ini kali pertama kami terima bantuan makanan daripada NGO. Mulanya kami terkejut kerana difahamkan rentetan laporan media, namun amat berbesar hati dan gembira atas kesudian Al-I’tisam memberi bantuan iftar ini apatah lagi ketika Ramadan dan akan menyambut Aidilfitri,” katanya.

Berita Harian X