Khamis, 9 Mei 2019 | 2:56pm
Jurubahasa Isyarat Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) Muhammad Azfar Yamin Mohd Kamal, 31, (kiri) bersama peserta Ekspedisi Gunung Sarut, Sungai Tong, Setiu, baru-baru ini. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

Guna mercun bola ketika daki gunung dengan orang pekak

PERMAISURI: “Kami terpaksa membawa mercun bola setiap kali mendaki gunung bersama orang pekak termasuk ketika menyertai ekspedisi Gunung Sarut,” kata Muhammad Azfar Yamin Mohd Kamal.

Muhammad Azfar Yamin, 31, jurubahasa Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT), berkata bunyi dentuman kuat mercun dapat mengejutkan mereka apabila berada pada jarak jauh.

“Apabila berada dalam situasi begini, kami tiada pilihan selain membakar mercun bola kerana jika melaung atau menjerit dengan suara kuat pun mereka tak dengar.

“Cabaran paling besar apabila mengikuti ekspedisi seperti ini ialah menerima komunikasi atau isyarat kecemasan bagi orang pekak.

“Kelengkapan peralatan isyarat paling penting selain mercun bola adalah lampu bagi memudahkan kami untuk berhubung apabila berlaku sebarang insiden tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata, Ekspedisi Gunung Sarut, Sungai Tong baru-baru ini disertai 25 peserta termasuk tiga jurubahasa.

“Seramai 16 peserta adalah orang kurang upaya (OKU) masalah pendengaran pekak dan sembilan peserta lain adalah normal.

“Peserta datang daripada pelbagai negeri antaranya Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu, Sabah dan beberapa negeri lain serta pelbagai kaum Melayu, Cina dan India,” katanya.

Katanya, setiap kali menyertai ekspedisi mendaki gunung sekurang-kurangnya dua jurubahasa isyarat diperlukan untuk membantu peserta.

“Seorang akan duduk di barisan hadapan dan seorang akan berada di hujung barisan belakang yang bertindak sebagai ‘telinga’ kepada peserta pekak bagi memberi amaran sesuatu berbahaya yang datang seperti bunyi binatang buas, kepala air dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Abdul Roni Awang, 65, berasal dari Kuala Terengganu berkata, dia bergiat aktif menyertai ekspedisi mendaki sejak menyertai POPT pada 2000 selepas mengalami masalah pendengaran sejak lahir.

“Pencapaian terbesar pernah menyertai lawatan integrasi dan kembara Gunung Kinabalu, Sabah dan berjaya sampai ke puncak gunung dengan ketinggian 4,095.2 meter pada 2007, selain pernah mendaki Gunung Berembun, Chemerong, Langsir di Dungun serta Gunung Sarut, Setiu,” katanya.

595 dibaca
Berita Harian X