Khamis, 9 Mei 2019 | 9:48am
WAN Rosdy Wan Ismail

Aplikasi 'Pahang Go' dilancar bulan depan

KUANTAN: Kerajaan negeri akan melancarkan aplikasi ‘Pahang Go’ awal bulan depan bagi memudahkan rakyat membuat pelbagai pembayaran bil dan cukai taksiran.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata aplikasi dibangunkan sepenuhnya anak tempatan itu sudah diluluskan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (EXCO) dan dilihat mampu meningkatkan lagi perolehan hasil kerajaan Pahang melalui kutipan cukai tertunggak.

“Aplikasi ini adalah antara inisiatif untuk mentranformasikan agensi di bawah kerajaan negeri dalam melaksanakan tugas dengan lebih berkesan dan berkualiti.

“Apabila sistem atau aplikasi ini beroperasi sepenuhnya menjelang awal bulan depan, kita percaya ia dapat membantu kita menjadi antara negeri yang melaksanakan konsep pentadbiran digital di negara ini.

“Aplikasi ini adalah untuk memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab mereka membayar cukai taksiran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT); pembayaran levi atau fi kepada agensi kerajaan negeri dan pelbagai pembayaran lain yang membabitkan urusan dengan kerajaan negeri dengan lebih cepat dan mudah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat EXCO di Wisma Sri Pahang, semalam.

Wan Rosdy berkata, pengenalan aplikasi yang boleh dimuat turun ke telefon pintar itu adalah untuk memberi pilihan kepada penduduk di negeri ini dan mereka boleh memilih untuk terus berurusan di kaunter bagi membayar bil atau cukai taksiran, atau membuat pembayaran secara atas talian menggunakan aplikasi ‘Pahang Go’.

Katanya, aplikasi itu adalah untuk menjimatkan masa orang ramai kerana setiap pembayaran boleh dibuat di mana sahaja, berbanding jika mereka berurusan di kaunter yang memerlukan mereka memandu dan mencari tempat letak kenderaan sebelum melakukan urusan.

“Caj dikenakan apabila berurusan menggunakan aplikasi ini juga sama dengan kadar dikenakan jika berurusan di kaunter, jadi ia memberi pilihan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi keseluruhan kerajaan Pahang selepas setahun dipilih sebagai Menteri Besar, Wan Rosdy berkata, beliau sangat berpuas hati dengan pelbagai dasar diperkenalkan yang mula menunjukkan hasil positif.

“Antara (pencapaian) paling baik setakat ini ialah keupayaan kerajaan negeri meningkatkan kutipan hasil, termasuk cukai tertunggak dengan jumlah perolehan RM181 juta dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, berbanding hanya RM141 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

“Saya harap prestasi dan perolehan kewangan ini dapat ditingkatkan lagi sepanjang tahun ini dan seterusnya dapat menjadikan negeri Pahang sebagai negeri yang boleh berdikari melalui penjanaan pendapatan sendiri.

“Kita juga akan terus mengambil pendekatan menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan pelbagai projek bagi menjamin kesejahteraan rakyat dapat diteruskan,” katanya.

Berita Harian X