Rabu, 8 Mei 2019 | 10:03pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Perhimpunan Menteri Wilayah Persekutuan bersama warga kementeriannya di Putrajaya, petang ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Laluan pejalan kaki Jalan TAR dibuka dua bulan

PUTRAJAYA: Laluan pejalan kaki di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di ibu negara akan dibuka kembali kepada pengguna selama dua bulan bermula Sabtu ini bagi memberi laluan kepada pengunjung membeli-belah di kawasan berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata pihaknya memutuskan untuk membuka kembali laluan itu yang sebelum ini dijadikan kawasan pejalan kaki pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum, selepas mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak.

“Saya mengadakan perbincangan dengan Persatuan Penjual Batu Road (BARRA) serta Persatuan Peniaga Masjid India dan mereka memberi maklum balas positif.

“Namun mereka mengatakan untuk bulan Ramadan mereka menjangka jualan akan meningkat dan atas sebab itu memohon supaya jalan berkenaan dibuka pada hari minggu bagi memudahkan orang ramai membeli-belah.

“Pembeli yang dianggarkan ramai pada hari berkenaan akan dapat membeli-belah seperti sedia kala, dan tempoh itu juga untuk membolehkan kita menangani masalah peniaga yang berada di Lorong Gombak dan Lorong Tuanku Abdul Rahman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Menteri Wilayah Persekutuan bersama warga kementeriannya, di sini petang ini.

Mac lalu, Khalid dilaporkan berkata, kerajaan merancang menjadikan Jalan TAR sebagai kawasan pejalan kaki yang akan dilaksanakan secara percubaan pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Sementara itu, mengenai kekurangan pengunjung dan peniaga di tapak baharu Bazar Ramadan di Jalan Raja, Khalid berkata, ia situasi biasa dan pihaknya yakin ia akan mula dipenuhi pengunjung pada minggu kedua Ramadan.

“Di bazar berkenaan kita hanya menjual barangan kering seperti pakaian dan baju raya bukannya juadah untuk berbuka puasa. Atas sebab itu dalam tempoh ini ia kurang meriah kerana orang akan mula membeli keperluan raya pada minggu kedua puasa,” katanya.

Mengenai projek Taman Tugu, Khalid berkata, kabinet memutuskan untuk menyerahkan tanah seluas 26.7 hektar itu kepada Amanah Warisan Negara.

Katanya, tanah yang dianggarkan bernilai RM1.87 bilion itu akan dikekalkan sebagai kawasan hutan tropika dan statusnya itu tidak akan berubah.

“Pemberian tanah itu dengan syarat yang nyata iaitu tidak boleh dilakukan apa-apa, dicagarkan dan ia akan diwartakan sebagai kawasan hutan tropika,” katanya.

509 dibaca
Berita Harian X