Rabu, 8 Mei 2019 | 3:55pm
Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. - Foto Imran Makhzan.

Pantau proses baik pulih masjid - MB

KUALA TERENGGANU: Semua pihak terutama kontraktor dan kariah masjid di seluruh negeri diingatkan supaya memastikan aspek keselamatan bangunan yang dibina.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kejadian sebahagian bumbung Masjid Haji Muhammad di Kampung Wakaf Tengah, Batu Buruk, runtuh malam tadi perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak.

“Masjid itu bukan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu, sebaliknya masjid persendirian.


SEBAHAGIAN struktur bumbung Masjid Kampung Tengah (Masjid Haji Muhammad) di Kampung Mengabang Tengah, Kuala Terengganu, runtuh ketika hujan lebat malam tadi. - Foto Imran Makhzan

“Cuma saya nak ingatkan semua pihak termasuk kontraktor dan ahli kariah seluruh negeri supaya memastikan dan memantau aspek keselamatan mana-mana masjid yang terbabit dalam pembinaan.

“Walaupun sekarang ini cuaca panas dan tiada hujan atau ribut, tetapi ambil perhatian apabila kita melakukan kerja baik pulih,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri sedia membantu jawatankuasa masjid berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam tadi, empat jemaah masjid terselamat selepas sebahagian bumbung Masjid Haji Muhammad runtuh ketika hujan lebat.

Sebelum kejadian, tiga jemaah bertadarus sempena Ramadan, manakala seorang jemaah melipat sejadah selepas lebih 100 penduduk kampung itu selesai menunaikan solat sunat tarawih.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Che Kamaruddin Bahar, ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian dan pegawai JKR sudah ke lokasi untuk membuat pemeriksaan dan pemantauan.

Beliau berkata, pihaknya kini mengumpul maklumat mengenai pembinaan masjid wakaf persendirian itu yang menjalani proses baik pulih, sebelum membuat syor dan tindakan perlu bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Daripada maklumat diperoleh, baik pulih masjid itu dikendalikan jawatankuasa masjid dengan bantuan dan sumbangan orang ramai, tetapi JKR sedia bantu dan kita syorkan kerja baik pulih dihentikan sementara waktu.

“Kita akan membuat semakan mengenai keselamatan strukturnya dan lihat bahagian mana yang perlu diperbaiki bagi memastikan keselamatan masjid ini,” katanya.

Berita Harian X