Selasa, 7 Mei 2019 | 1:20pm
Malai Damit melayan pengunjung yang datang ke gerainya untuk membeli acar dan sambal tuhau di bazar Ramadan Papar. - Foto Rafiqah Dahali

Acar tuhau penambah selera berbuka puasa

PAPAR: Jika orang ramai sudah biasa menikmati acar timun atau buah, pengunjung bazar Ramadan di pekan Papar, di sini pula boleh menemui acar tuhau sebagai penambah selera.

Acar berkenaan dibuat daripada umbut sejenis halia liar atau pokok tepus dikenali sebagai tumbuhan berbau pijat dan popular dalam kalangan masyarakat Kadazandusun.

Tuhau atau nama saintifiknya, Etlingera coccinea, lazim dibuat sambal atau digoreng untuk dimakan bersama nasi dan hidangan lain.

Peniaga acar dan sambal tuhau di bazar Ramadan pekan Papar, Malai Damit Malai Ahmad, 72, dari Kampung Surati, di sini, berkata juadah berkenaan mendapat sambutan ramai pembeli.


Antara sambal yang dijual Malai Damit di gerainya di bazar Ramadan Papar. - Foto Rafiqah Dahali

Ibu kepada empat anak itu berkata, beliau mempelajari cara menghasilkan acar dan sambal melalui YouTube, selain mendapatkan resipi menerusi Internet, sebelum mengubah suai mengikut selera masyarakat tempatan menggunakan tuhau.

“Walaupun saya turut menjualnya di pasar tamu setiap Sabtu dan Ahad serta pasar tani pada Khamis, jualan ketika Ramadan lebih memberangsangkan,” katanya.

Selain acar dan sambal tuhau, Malai Damit menjual pelbagai jenis sambal lain seperti ikan masin, udang, terung dan lada, di samping acar timun, rebung dan ikan masin, serta jeruk ikan tilapia dan lada hijau.

Secara keseluruhan, ada lebih 40 gerai menjual pelbagai juadah di bazar Ramadan pekan Papar yang terletak bersebelahan Dewan Masyarakat Papar.

Berita Harian X