Ahad, 5 Mei 2019 | 3:33pm

Johor perintis modul Bomba Bantuan 2 tahun

KOTA TINGGI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menjadi perintis melaksanakan modul latihan Bomba Bantuan selama dua tahun.

Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahya Madis, berkata modul latihan Bomba Bantuan akan dilaksanakan menerusi pengambilan baharu anggota berkenaan dalam masa terdekat.

Katanya, sebelum ini modul latihan Bomba Bantuan hanya mengambil masa 10 hari sebelum tamat latihan.

“Namun untuk pengambilan baharu Bomba Bantuan di Johor, kita akan laksanakan modul latihan baharu yang mengambil tempoh dua tahun dan Johor menjadi perintis melaksanakan modul ini.

“Sebenarnya tempoh 10 hari untuk melatih Bomba Bantuan tidak mencukupi kerana mereka hanya diajar teori dan praktikal asas memadam kebakaran dalam masa yang singkat.

“Aspek latihan bagi menghadapi bencana, kecemasan dan kemalangan berskala tinggi contohnya keracunan kimia seperti di Sungai Kim Kim, kebakaran membabitkan kawasan industri serta di bangunan tinggi memerlukan latihan dan ilmu kebombaan lebih intensif dan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Tamat Latihan Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2019 Bomba Johor di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, dekat sini, hari ini.

Yahya berkata, pelaksanaan modul latihan Bomba Bantuan selama dua tahun berkenaan akan diguna pakai terhadap 42 pegawai Bomba Bantuan yang tamat latihan hari ini sebagai kumpulan perintis.

Katanya, ia sebagai persediaan memberikan latihan lengkap kepada anggota Bomba Bantuan berkenaan yang akan diserap di Balai Bomba dan Penyelamat, Punggai, dekat sini.

“JBPM Johor juga akan menghantar konsep modul latihan Bomba Bantuan ini ke ibu pejabat bagi membolehkan ia diguna pakai di seluruh negara.

“Buat masa ini, terdapat 170 anggota Bomba Bantuan yang sedang berkhidmat di negeri ini dan kita akan mengambil 44 lagi anggota baharu berikutan kekosongan jawatan berkenaan, ” katanya.

199 dibaca
Yahya (tengah) beramah mesra dengan anggota pegawai Bomba Bantuan selepas merasmikan Majlis Tamat Latihan Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2019 Bomba Johor, di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X