Sabtu, 4 Mei 2019 | 6:15pm
Nor Asyikin membersihkan mata suaminya Che Awadi, yang menghidap kanser hidung di rumah mereka di Kampung Senang, Kedai Lalat. - Foto Fathil Asri

Derita Che Awadi berakhir

KOTA BHARU: Selepas menderita menghidap kanser hidung sejak Februari lalu, Che Awadi Che Soh disahkan meninggal dunia di rumahnya, di Kampung Senang, Kedai Lalat, di sini, petang tadi.

Kisah Che Awadi, 38, yang terlantar selepas kanser yang hadapinya sudah merebak ke mata dan kepala sehingga keluarganya hilang mata tempat bergantung sara hidup, pernah dilaporkan dalam akhbar ini Selasa lalu.

Arwah menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.40 petang di sisi isteri, Nor Asyikin Abd Rahman, 27, tiga anak dan ayahnya, Che Soh Che Ahmad, 72, di rumah mereka di Kampung Senang, Kedai Lalat, di sini.

Nur Asyikin berkata, keadaan suaminya sudah semakin lemah sejak dua hari lalu sebelum dilihat tenat pada jam 1 tengah hari tadi.

“Doktor datang ke rumah tengah hari tadi untuk memasukkan air, namun badan suami kelihatan tidak bermaya selain nadinya semakin lemah.

“Keadaannya cukup membimbangkan sehinggalah suami menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.40 petang tadi. Saya memang sudah jangka keadaan ini akan berlaku, cuma tidak sangka secepat ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Nur Asyikin berkata, dia juga terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja dari sebuah pasar raya kerana mahu menjaga sepenuh masa suaminya yang semakin tenat.

Katanya, pada November tahun lalu, suami mengalami pendarahan hidung selama sebulan sehingga sakit kepala dan selepas dirawat di hospital, pendarahan berhenti.

“Kebelakangan ini, suami sukar tidur. Saya hanya mahu berada disampingnya kerana sedih melihat keadaan yang semakin teruk. Bagaimanapun, kami reda dengan pemergian suami.

“Cuma kami risau keadaan kami empat beranak selepas ini kerana saya juga sudah tidak bekerja. Macam mana pula keadaan tiga anak kami yang baru berusia dua hingga lapan tahun termasuk dua daripadanya masih bersekolah,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun bank CIMB 7627562487 (Nur Asyikin Abd Rahman).

Berita Harian X