Jumaat, 3 Mei 2019 | 12:36pm
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat MAIWP Ahmad Shukri Yusoff (kanan) menunjukkan logo baharu Skim Potongan Gaji Zakat ketika Sidang Media ‘Ibadah Zakat Pelengkap Ramadan’ di Wisma PPZ-MAIWP hari ini. Turut sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat MAIWP Abdul Hakim Amir Osman (kiri). - Foto BERNAMA

PPZ-MAIWP sasar RM110 juta zakat pada Ramadan

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan kutipan zakat harta dan fitrah berjumlah RM110 juta membabitkan 126,200 pembayar sepanjang Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff, berkata ia meningkat 15 peratus berbanding Ramadan tahun lalu yang merekodkan kutipan zakat berjumlah RM95.8 juta membabitkan 109,739 pembayar zakat.

“Sasaran itu mampu dicapai berdasarkan beberapa strategi dilaksanakan bagi memudahkan orang ramai membayar zakat sepanjang Ramadan selaras tema ‘Ibadat Zakat Pelengkap Ramadan’,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPZ-MAIWP di sini hari ini.

PPZ-MAIWP menyediakan 10 kaunter iaitu tujuh di Kuala Lumpur, dua di Putrajaya dan satu di Labuan yang dibuka sepanjang Ramadan dari jam 8.15 pagi hingga 4.30 petang.

Kaunter itu menyediakan perkhidmatan mentaksir zakat, membayar semua zakat termasuk fitrah, mendapatkan salinan zakat, menyemak rekod bayaran zakat terdahulu dan mendapatkan borang kebenaran potongan gaji zakat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menyasarkan kutipan menerusi portal mampu mencecah RM1 juta berbanding RM180,000 pada Ramadan tahun lalu.

Pembayaran juga boleh dibuat menerusi portal, www.zakat.com.my.

Katanya, pihaknya juga menyediakan empat Kaunter Zakat Bergerak (KZB) PPZ-MAIWP bagi memudahkan pembayaran zakat yang lokasinya boleh diketahui dengan menghubungi pusat panggilan di talian 1 300 88 5757.

“Bagi menarik lebih ramai pembayar zakat, kami menyediakan cenderahati seperti sampul raya, kit Ramadan dan Syawal serta produk asnaf iaitu serunding yang diberikan pada minggu ketiga Ramadan.

“Cenderahati khas juga disediakan kepada 1,000 orang yang mengulangi bayaran mereka menerusi portal PPZ-MAIWP,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Shukri turut mengumumkan penjenamaan semula Skim Thohir yang digunakan hampir lapan tahun kepada Skim Potongan Zakat Bulanan (PZB).

“Kami merasakan sudah sampai masanya untuk menjenamakan semula Skim Thohir yang digunakan sejak lapan tahun lalu supaya ia dekat serta relevan dengan pembayar zakat.

“Pembayar zakat melebihi RM50 akan dilindungi Skim Kafalah Muzakki, PPZ-MAIWP akan menyumbang RM3,000 kepada waris jika pembayar zakat berkenaan meninggal dunia,” katanya.

Berita Harian X