Jumaat, 3 Mei 2019 | 12:35pm
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berucap pada Majlis Penyampaian Geran 2019 Kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina, di Sekolah Menengah Chung Hua No.1. di Kuching, semalam. - Foto L. Manimaran

Sarawak agih RM11 juta kepada sekolah Cina

KUCHING: Kerajaan negeri memperuntukkan RM11 juta tahun ini bagi membantu sekolah Cina di Sarawak, pertambahan RM1 juta berbanding tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata daripada keseluruhan dana berkenaan, sebanyak RM8 juta diperuntukkan kepada 14 sekolah menengah Cina.

“Selebihnya, RM3 juta dibelanja bagi menempatkan semula Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Bako ke Taman Berlian, Kota Samarahan, membabitkan kos RM6 juta.

“Pendidikan sangat penting dan sebab itu kami membantu sekolah Cina demi masa depan generasi baharu Sarawak,” katanya selepas selepas majlis penyampaian geran 2019 kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina di Sekolah Menengah Chung Hua No.1, di sini, semalam.

Yang turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian; Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin serta Pengerusi Lembaga Pengurusan Persatuan Sekolah Persendirian Cina Sarawak, Datuk Vincent Lau Lee Ming.

Sementara itu, Abang Johari, menegaskan kerajaan negeri memberi jaminan kekal mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), selain meneruskan bantuan kewangan kepada sekolah Cina.

“Pengiktirafan UEC adalah untuk membantu anak Sarawak yang mendapat pendidikan di sekolah Cina. Kita akan teruskan mengiktiraf UEC, tidak seperti mereka di seberang sana (Kerajaan Persekutuan),” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan itu penting bagi membolehkan pelajar yang mempunyai sijil berkenaan menyertai perkhidmatan awam negeri dan layak memohon pinjaman pendidikan daripada Yayasan Sarawak.

Berita Harian X