Khamis, 2 Mei 2019 | 9:00pm
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pulau Pinang tidak perlu terancam dengan KXP - Mukhriz

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Pulau Pinang diharap tidak terancam dengan pembinaan Lapangan Terbang Kulim (KXP) berikutan pembinaannya hanya pelengkap kepada perkhidmatan kargo di wilayah utara.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata pembinaan KXP dijangka mengukuhkan keyakinan pelabur asing di negeri-negeri utara dengan penawaran perkhidmatan kargo dari dua lapangan terbang itu.

Katanya ia umpama mencapai titik pertemuan kepentingan kedua-dua negeri termasuk seluruh wilayah utara untuk terus maju.

“Isu yang sama kita akan bangkitkan kalau perkhidmatan kargo seluruh wilayah utara tidak dapat ditangani dengan baik melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

“Bukan saja Pulau Pinang akan terjejas, tetapi juga Kedah termasuk seluruh negeri utara. Jadi, tujuan pembinaan KXP adalah untuk membantu LTAPP.

“Kedah bertekad untuk memberi tumpuan kepada perkhidmatan kargo saja dan bukannya perkhidmatan penumpang,” katanya, ketika ditemui di Wisma Darul Aman, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kebimbangan Pulau Pinang yang menjangkakan KXP akan menjadi saingan dan mengurangkan kadar penggunaan kemudahan infrastruktur kargo di LTAPP termasuk mengurangkan pelaburan langsung asing (FDI) ke Pulau Pinang.

Hal itu dinyatakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan A Kumaresan (PH-Batu Uban) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri, hari ini.

Mukhriz berkata kerajaan negeri sangat memandang serius isu penawaran kapasiti kargo di LTAPP dan tidak mahu masalah itu berlarutan tanpa penyelesaian jangka panjang.

Justeru, katanya, KXP adalah jalan penyelesaian terbaik yang dapat membantu Pulau Pinang.

“Saya difahamkan, menerusi semua pembentangan kerajaan Pulau Pinang, adalah tertumpu untuk penambahbaikan perkhidmatan penumpang di LTAPP iaitu daripada 6.5 juta penumpang setahun sekarang, mahu dinaikkan menjadi lapan juta dan mungkin 12 juta setahun.

“Saya tidak mahu panjangkan perkara ini, dengan wujudnya KXP, ia akan merangsang ekonomi seluruh wilayah utara dan ini satu perkara yang baik untuk Pulau Pinang juga,” katanya.

305 dibaca
Berita Harian X