Khamis, 2 Mei 2019 | 11:27am
Sebahagian penduduk kampung Lada yang menyertai program Jom Bersih Masjid. - Foto Roselan Ab Malek

Gotong-royong bersih masjid menjelang Ramadan

JERANTUT: Kira-kira 100 penduduk Kampung Lada, dekat sini melakukan gotong-royong membersih dan mengindahkan perkarangan masjid kampung berkenaan dalam Program Jom Bersih Masjid, hari ini.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kampung berkenaan, Mazlan Malek, berkata program itu sebagai persiapan menjelang kedatangan Ramadan minggu depan.

“Gotong-royong seperti ini adalah program tahunan kami dan ia adalah antara pendekatan diambil semua ahli kariah untuk memastikan pekarangan masjid sentiasa dalam keadaan bersih serta selesa bagi menjalankan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan.


Sebahagian penduduk kampung Lada yang menyertai program Jom Bersih Masjid. - Foto Roselan Ab Malek

“Ini juga adalah antara cara paling mudah untuk mengumpulkan penduduk kampung dan dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara kita,” katanya ketika ditemui di sini.

Mazlan berkata, program berkenaan sudah dirancang lebih awal dan pihaknya memilih hari ini sebagai tarikh untuk menjalankan gotong-royong memandangkan ia adalah hujung minggu terakhir sebelum umat Islam mula berpuasa.

“Kita buat program secara santai dan lebih kepada untuk merapatkan hubungan antara ahli kariah masjid.

“Selain membersihkan permaidani, kipas dan tingkap, kita turut mengecat semula bahagian masjid ini yang sudah kelihatan pudar disebabkan cuaca,” katanya.

Berita Harian X