Selasa, 30 April 2019 | 4:01pm
TIMBALAN Pengarah Jabatan Pelesenan MPK, Mohd Fharulisa Md Isa (kanna) hadir pada operasi pemeriksaan kilang di Taman Perindustrian Sobena Jaya, Pandamaran, hari ini. - Foto Norzamira Che Noh

Kilang haram: MPK lakukan pemeriksaan bulanan

KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengingatkan pemilik kilang yang beroperasi di daerah itu untuk memiliki lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelesenan MPK, Mohd Fharulisa Md Isa, berkata ia berikutan pihak yang ingkar dan enggan mendapatkan lesen, bakal dikenakan tindakan sita.

“Kami di MPK sentiasa menjalankan operasi memeriksa kilang-kilang di kawasan perindustrian bersama ahli majlis untuk memastikan kilang berkenaan beroperasi secara sah.

“Operasi seperti ini dilakukan setiap bulan dan tujuan kami bukan untuk menakut-nakutkan pemilik kilang, malah kami memberi peluang kepada kilang yang tiada lesen untuk memohonnya dengan segera.

“Jika kita dapati kilang tidak mempunyai lesen, kita akan beri mereka tempoh selama tujuh hari untuk memohon lesen dan jika mereka masih ingkar, baru kita kenakan tindakan sita,” katanya kepada pemberita selepas operasi pemeriksaan kilang di Taman Perindustrian Sobena Jaya, Pandamaran di sini, hari ini.

Dalam operasi itu, empat buah kilang diperiksa dan dua daripadanya didapati tidak mempunyai lesen sah daripada MPK.

Kata Mohd Fharulisa, dua kilang berkenaan iaitu kilang memproses kain terpakai dan kilang membuat palet kayu, masing-masing diarahkan segera memohon lesen.

“Kita keluarkan dua notis pemberhentian kegiatan perniagaan tanpa lesen kepada mereka mengikut Undang-Undang Kecil 3 Perlesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Klang) 2007.

“Kilang di kawasan ini kebanyakannya menjalankan kegiatan yang tidak berisiko dan ringan. Justeru, kami tidak mengambil tindakan drastik terhadap mereka,” katanya.

Mohd Fharulisa berkata, terdapat lebih 100 kilang di situ dan ia adalah kawasan perindustrian yang tersusun, malahan rata-rata kilang yang beroperasi mempunyai lesen sah.

Operasi berkenaan turut disertai oleh ahli majlis, pelbagai jabatan dalaman MPK dan penguatkuasa.

Katanya, beberapa operasi seumpamanya sudah dijalankan oleh MPK di Pulau Indah, Teluk Gong, Kapar serta Meru sebelum ini dan kebanyakan kilang yang diarahkan memohon lesen mematuhi arahan yang diberikan.

Berita Harian X