Selasa, 30 April 2019 | 4:00pm
EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo. - Foto Danial Saad

Peruntukan RM173 juta bagi selenggara bangunan, perumahan awam usang

GEORGETOWN: Kerajaan negeri membelanjakan hampir RM173 juta bagi kerja pemuliharaan bangunan usang dan perumahan awam di Pulau Pinang, sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negeri itu.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata ia secara langsung membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa memantau premis berkenaan.

“Dana ini adalah daripada Tabung Perumahan Awam di bawah Bahagian Perumahan negeri dengan kos sesebuah projek penyelenggaraan dibuat bersama pemaju swasta, membabitkan nisbah pembahagian 80:20.

“Kita bukan sekadar membuat pemantauan tetapi turut melaksanakan projek pemuliharaan bagi setiap permohonan yang diluluskan,” katanya pada sidang media di Lobi Dewan Sri Pinang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas saranan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, yang mahu pemantauan dibuat terhadap bangunan berusia 30 tahun ke atas, khususnya perumahan kos rendah di kawasan bukit dan tanah tinggi.

Zuraidah dilapor berkata, ia bertujuan bagi pertimbangan kerja baik pulih atau dibangunkan semula selaras Dasar Perumahan Negara 2018-2025 yang diumumkan kementeriannya pada 28 Januari lalu.

Dalam pada itu, Jagdeep berkata sekurang-kurangnya lima projek perumahan berstrata di negeri itu dicadang untuk dibangunkan semula selepas struktur bangunannya dikenal pasti tidak sesuai untuk didiami.

Katanya, ia membabitkan Flet Rifle Range, Air Hitam; Taman Free School, Jelutong; lima blok pangsapuri di Lorong Mahsuri, Bayan Baru; Flet Mak Mandin, Butterworth dan flet di Taman Siakap, Seberang Jaya.

“Cadangan ini bagaimanapun berdepan halangan membabitkan faktor perundangan kerana undang-undang sedia ada bagi pembangunan semula perumahan strata kurang jelas dengan pindaan atau penggubalan akta baharu mengenainya perlu dilaksanakan.

“Zuraida juga maklum mengenai perkara ini dan kerajaan negeri masih menunggu maklum balas Majlis Tanah Negara. Kita mengalu-alukan pencerahan dari sudut perundangan supaya boleh meneruskan pelaksanaan cadangan ini (pembangunan semula),” katanya.

Berita Harian X