Sabtu, 27 April 2019 | 10:00am
Laman sesawang SYABAS: www.syabas.com.my

Gangguan bekalan air sudah pulih sepenuhnya - SYABAS

KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air di semua kawasan yang terjejas berikutan kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), sudah pulih sepenuhnya.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dalam satu kenyataan, hari ini, berkata kawasan berkenaan membabitkan enam wilayah meliputi Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Katanya, perkembangan itu berdasarkan pemantauan di lapangan dan bacaan tekanan di sistem agihan hingga jam 6.00 pagi tadi.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelanggan terbabit atas kerjasama diberikan ketika gangguan bekalan sementara dan kerja penambahbaikan sistem bekalan air berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang: www.syabas.com.my, Facebook ‘Air Selangor’, Twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor yang boleh dimuat turun dalam Google Play dan App Store, untuk maklumat mengenai bekalan air.

Media sebelum ini melaporkan henti tugas LRA SSP2 pada 24 April lalu dijangka menyebabkan gangguan bekalan air hingga 86 jam, bergantung pada lokasi dan kedudukan pengguna, membabitkan sebanyak 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan.

240 dibaca
Berita Harian X