Khamis, 25 April 2019 | 8:31pm
ADLY Zahari pada sidang media selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri di Bilik Bijasura, Seri Negeri. - Foto Khairunisah Lokman

Sebahagian Hutan Simpanan Kekal diisytihar hutan terbuka

AYER KEROH: Kerajaan negeri mengisytiharkan sebahagian Hutan Simpanan Kekal di Melaka sebagai hutan terbuka bagi memberi kemudahan orang ramai menjalankan aktiviti riadah dan rekreasi.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata perkara itu bersesuaian Seksyen 45 Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 yang memberi kuasa pihak berkuasa negeri untuk melakukan perisytiharan berkenaan.

“Hutan lipur dan hutan simpan terbabit dalam pengisytiharan itu ialah Hutan Simpan Bukit Batu Lebah, Bukit Senggeh (2.645 hektar), Hutan Simpan Tanjung Tuan (1.04 hektar), Hutan Simpan Paya Laut, Linggi (2.751 hektar), Hutan Simpan Sungai Udang (2.751 hektar), Taman Negeri Melaka, Bukit Sedanan (6.92 hektar) dan Hutan Simpan Bukit Beruang (36.15 hektar).

“Langkah ini membolehkan orang awam memasuki kawasan hutan simpan terbabit tanpa perlu memperoleh Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal di kawasan aktif seperti kawasan pembangunan, denai, gerai dan parkir,” katanya pada sidang media di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Adly berkata, berdasarkan rekod, kemasukan pengunjung ke hutan lipur meningkat sejak tiga tahun kebelakangan, iaitu 64,878 orang pada 2016, 84,266 (2017) dan 69,185 (hingga 17 Disember 2018).

Katanya, peningkatan bilangan pengunjung itu juga menunjukkan hutan lipur terbabit sudah melalui transformasi untuk menjadi pusat ekopelancongan yang popular.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius aduan orang ramai, khususnya masyarakat Islam, berhubung kemudahan surau di premis komersial.

“Kebanyakan surau di premis komersial diletakkan di tempat terpencil dan saiznya tidak sesuai dengan keperluan pengunjung.

“Justeru, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta memberi maklum balas berkaitan syarat kebenaran merancang ditetapkan supaya kemudahan surau disediakan premis komersial, sesuai dan memenuhi keperluan pengunjung,” katanya.

364 dibaca
Berita Harian X