Khamis, 25 April 2019 | 5:10pm
IBU bapa sedang membersihkan kenderaan guru sempena sambutan Hari Guru di SK Jelor. - NSTP/Ihsan Pembaca

Ibu bapa basuh kereta guru sempena sambutan Hari Guru

KOTA BHARU: Sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelor, di sini, hari ini tampil kelainan apabila ibu bapa hadir membuat kejutan untuk membasuh kereta guru.

Kehadiran 15 ibu bapa seawal jam 8 pagi tadi dengan masing-masing membawa baldi, cecair pembersih dan kain pengelap ternyata mengejutkan guru di sekolah itu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Hisyam Daud, berkata ia adalah sebahagian kejutan yang dirancang jawatankuasa PIBG tanpa pengetahuan guru sekolah itu.


IBU bapa membasuh kenderaan guru sempena sambutan Hari Guru 2019 di SK Jelor, Pasir Puteh. - NSTP/Ihsan Pembaca

“Kami adalah ibu bapa murid Tahun Enam hadir pada hari ini bagi menghargai jasa guru yang mendidik anak-anak kami daripada Tahun Satu hingga sekarang berada di Tahun Enam.

“Kami sempat mencuci kesemua 46 kereta guru termasuk empat motosikal.

“Kerja mencuci kenderaan dimulakan ketika semua guru bersama 268 murid berkumpul di medan perhimpunan bagi menyambut Hari Guru,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Guru Besar sekolah itu, Zurina Ripin berkata, ini adalah kali pertama kehadiran ibu bapa secara berkumpulan untuk sama-sama mengadakan aktiviti bagi sambutan Hari Guru peringkat sekolah.

“Kami hanya sedar apabila mereka selesai membasuh kenderaan dengan menggunakan peralatan yang dibawa sendiri

“Alhamdulillah terima kasih PIBG atas kejutan ini,” katanya.

1869 dibaca
Berita Harian X